CYBERJAYA – Sindiket penipuan kewangan dalam talian hanya mengambil masa antara tiga hingga 10 minit bagi melesapkan 80 hingga 90 peratus duit mangsa dalam akaun bank menerusi akaun keldai atau ‘mule account’.
Perkara itu didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, siasatan mendapati, sindiket penipuan dalam talian telah mempersiapkan proses penipuan dengan begitu teliti tanpa disedari mangsa.
“Dalam proses siasatan, kita mengesan bahawa hanya dalam tempoh tiga hingga 10 minit sahaja, 80 hingga 90 peratus jumlah akaun itu lesap melalui penggunaan mule account.
“Ada kes yang ditaklimatkan kepada kita bahawa mangsa hanya sedar bahawa dia telah berkongsi akaun sekitar pukul 2 petang dan memaklumkan kepada pusat ini sekitar pukul 10 hingga 12 malam.
“Jadi, dalam tempoh sekitar 10 jam itu sudah cukup untuk melesapkan sehingga 80 peratus wang dalam akaunnya,” katanya.
Justeru, katanya, aduan segera oleh mangsa kepada NSRC amat penting terutama dalam tempoh satu jam pertama selepas mangsa sedar ditipu.
Saifuddin berkata, tempoh satu jam pertama selepas aduan mangsa itu penting kerana ia membolehkan tindakan segera dibuat pusat itu termasuk menyekat aktiviti penipuan berkenaan.
“Jadi cabaran buat kita ialah lagi cepat mangsa melaporkan, lagi banyak yang dapat diselamatkan.
“Satu jam pertama itu paling kritikal untuk membolehkan kita segera bertindak.
“Menerusi NSRC, sebaik aduan dibuat langkah pertama diambil pusat itu ialah ‘sekat’, ‘siasat’ dan seterusnya ‘pulangkan’,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). – KOSMO! ONLINE














