ISU bekalan dan harga beras sering menjadi perhatian rakyat, terutamanya ketika berlaku gangguan pasaran global atau kenaikan kos makanan.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kestabilan beras sebagai bekalan makanan ruji utama negara bukan sahaja penting kepada pengguna, tetapi juga kepada keseluruhan kesejahteraan sosial dan keselamatan makanan negara.
Malaysia berdepan cabaran tersendiri kerana sebahagian keperluan beras negara masih bergantung kepada import, manakala pengeluaran tempatan pula terdedah kepada risiko perubahan cuaca, kos operasi dan faktor struktur industri.
Justeru, memastikan bekalan beras kekal mencukupi memerlukan penyelarasan pelbagai pihak merangkumi kerajaan, pemain industri dan komuniti pesawah.
Dalam konteks inilah peranan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dilihat sebagai antara komponen penting dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara, khususnya melalui fungsi pengurusan bekalan, sokongan kepada pesawah dan mekanisme kestabilan pasaran.
Malaysia masih bergantung sebahagian daripada bekalan beras import untuk menampung keperluan domestik.
Beras import yang di bawa masuk oleh BERNAS bukan bertujuan untuk menggantikan beras tempatan, sebaliknya ia adalah mekanisme pelengkap bagi memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.
Situasi seperti sekatan eksport oleh negara pengeluar utama, fenomena cuaca ekstrem serta konflik geopolitik boleh memberi kesan langsung ke atas pasaran beras dunia.
Namun, Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak menerima kesan yang ketara akibat situasi ini.
Pengalaman BERNAS selama lebih 30 tahun mengurus perolehan beras dari luar negara membuktikan beras negara termasuk stok penimbal sentiasa mencukupi.
Selain itu, antara tanggungjawab utama yang kurang diketahui umum ialah pengurusan stok penimbal beras negara.
Stok ini berfungsi sebagai simpanan strategik bagi menghadapi sebarang krisis bekalan atau kecemasan, termasuk bencana dan gangguan rantaian bekalan.
Ketika pandemik COVID-19 misalnya, kestabilan harga dan bekalan beras dalam negara kekal terkawal walaupun banyak negara berdepan gangguan logistik dan kenaikan harga makanan.

Pengalaman krisis global mematangkan kesiapsiagaan negara dan sejarah krisis makanan dunia pada tahun 1973 dan 2008 telah memberi pengajaran penting kepada banyak negara mengenai kepentingan perancangan bekalan makanan jangka panjang.
Pengalaman tersebut menjadikan Malaysia lebih bersedia dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global, termasuk ketika kenaikan harga beras dunia pada tahun 2023 akibat sekatan eksport, fenomena El Niño dan ketidaktentuan ekonomi global.
Ditambah dengan jaringan hubungan BERNAS dengan syarikat negara pengeksport beras yang kukuh memberi kelebihan kepada negara untuk mengimport beras berkualiti dengan kuantiti yang lebih banyak pada harga yang berpatutan.
Pendekatan pengurusan bekalan dan harga yang dilaksanakan membantu memastikan impak kepada pengguna domestik dapat diminimumkan berbanding beberapa negara serantau lain.
Di peringkat domestik, kekuatan sektor padi tempatan menjadi asas kepada kestabilan jangka panjang. Justeru, usaha memperkukuh kebajikan pesawah terus menjadi antara fokus utama.
Salah satu mekanisme perlindungan penting ialah peranan sebagai Pembeli Padi Terakhir (Buyer of Last Resort).
Melalui mekanisme ini, pesawah masih mempunyai jaminan pasaran untuk menjual hasil tuaian mereka walaupun berlaku lebihan bekalan atau penurunan permintaan tertakluk kepada proses permutuan.
Pendekatan ini memberi kepastian pendapatan kepada pesawah bahawa hasil usaha mereka tidak akan terbiar tanpa pembeli, sekali gus membantu mengurangkan risiko kerugian ketika pasaran tidak menentu.
Cabaran besar sektor pertanian hari ini ialah faktor usia pesawah yang semakin meningkat.
Statistik menunjukkan sebahagian besar pesawah berada dalam kumpulan umur lebih 45 tahun, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesinambungan sektor pada masa depan.
Bagi menangani perkara ini, pelbagai usaha pemodenan diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi mekanisasi ladang seperti jentera moden, dron serta pendekatan pertanian pintar dan manalitik data.
Malah, BERNAS merupakan satu-satunya syarikat korporat yang masih meneruskan agenda kerajaan dalam meningkatkan tahap sara diri beras menerusi pengurusan ladang berskala besar di bawah program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).
Di bawah program ini, BERNAS berjaya membantu pesawah meningkatkan peningkatan hasil pengeluaran padi yang ketara di kawasan projek, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pesawah dan kapasiti pengeluaran tempatan.
Selain itu, penggunaan teknologi digital melalui projek rintis Rakan Tani Pintar AI yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan turut memberi dimensi baharu kepada pengurusan sawah dengan menyediakan panduan masa nyata kepada pesawah sepanjang musim penanaman.
Pendekatan berasaskan teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan produktiviti, malah berpotensi menarik minat generasi muda untuk kembali melihat sektor pertanian sebagai kerjaya masa depan yang berdaya maju.
Perubahan cuaca yang tidak menentu boleh memberi kesan besar kepada pengeluaran padi dan pendapatan pesawah.
BERNAS turut menyalurkan dana tambahan sebanyak RM90 juta kepada Tabung Bencana Bantuan Khas Pesawah yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membantu meringankan beban tersebut dan menyokong pesawah yang terjejas akibat bencana alam.
Sokongan tambahan turut di salurkan melalui pelbagai inisiatif bantuan khas sebagai sebahagian usaha bersama memperkukuh daya tahan komuniti pesawah dalam menghadapi risiko perubahan iklim.
Keterjaminan makanan bukan hanya bergantung kepada satu pihak atau satu pendekatan semata-mata.
Ia memerlukan keseimbangan antara pengeluaran domestik, pengurusan bekalan, sokongan pesawah dan kestabilan pasaran.
Dalam ekosistem ini, peranan import, pengeluaran tempatan dan perlindungan pesawah saling melengkapi antara satu sama lain bagi memastikan rakyat terus menikmati bekalan beras yang mencukupi pada harga yang berpatutan.
Usaha berterusan memperkukuh keseluruhan rantaian industri padi dan beras negara akan kekal penting dalam memastikan sektor ini terus mampan serta mampu menghadapi cabaran masa depan. – KOSMO! ONLINE














