fbpx
Siti Nur Aishah (depan, kanan) bergambar bersama sebahagian jemaah umrah Malaysia sebelum mereka terkandas di Jeddah.

‘Duit yang ada hanya tahan lima hari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sekumpulan 29 jemaah umrah yang terkandas di Jeddah, Mekah ekoran perang di Asia Barat merayu diselamatkan segera ekoran wang yang ada hanya dapat bertahan selama lima hari untuk menampung kos penginapan, makan dan minum.

Siti Nur Aishah Muhammad Nazri, 26, berkata, ia berlaku selepas penerbangan pulang pada pukul 4 petang kelmarin dengan menaiki pesawat Emirates melalui transit di Dubai telah dibatalkan secara mengejut susulan penutupan ruang udara di kawasan bergolak.

Katanya, peperangan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) de­ngan sekutunya, Israel kini telah menyebabkan jemaah umrah ketakutan dan risau mengenai keadaan mereka di sana.

“Kami tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini dan diminta dalam keadaan berjaga-jaga. Kos tiket tiada masalah ke­rana syarikat penerbangan akan membuat penggantian percuma.

“Apa yang merisaukan sekarang ialah kami perlukan duit untuk menampung kos penginapan dan makanan jika isu pe­nerbangan pulang ini berlarutan selama seminggu kerana kami hanya mampu bertahan selama lima hari sahaja,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi.

Terdahulu, Siti Nur Aishah membuat naik satu video di TikTok menceritakan mengenai kesukaran yang dihadapi mereka sebaik ruang udara ditutup kepada semua penerbangan susulan konflik yang berlaku.

Menurut Siti Nur Aishah, pihak agensi umrah hanya menanggung kos tersebut sehingga pukul 12 tengah hari semalam.

Siti Nur Aishah (tengah) bergambar kenangan bersama neneknya, Fatimah (kanan) ketika berada di Madinah baru-baru ini.

Tambahnya, untuk hari berikutnya, mereka perlu bertahan dan menanggung kos menggunakan wang sendiri.

“Ada warga emas dalam jemaah kami termasuk nenek, Fatimah Ariffin, 72, yang menghidap darah tinggi dan kolesterol. Dia ada bawa banyak ubat tetapi ada sebahagian jemaah memberitahu ubat mereka sudah pun habis,” katanya.

Ujar Siti Nur Aishah, ada jemaah tidak mampu bertahan lama kerana memerlukan kos lebih besar kerana membawa ahli keluarga yang ramai.

“Kami semua masih berada di hotel sama di Jeddah dan amat mengharapkan bantuan mana-mana pihak untuk kos penginapan dan makan minum beberapa hari akan datang,” katanya.

Kataya, mereka bercadang untuk mencari tempat penginapan lain dan memerlukan kenderaan ntuk bergerak sekiranya keadaan tidak berubah.

“Saya merayu orang ramai yang mempunyai kenalan di sini untuk membantu kami. Jika boleh duduk satu rumah 20 jemaah perempuan dan satu rumah untuk jemaah lelaki pun alhamdulillah,” katanya.

Setakat semalam, Siti Nur Aishah memberitahu keadaan para jemaah di Jeddah adalah selamat dan tiada kedengaran bunyi peluru berpandu ataupun bom.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN