fbpx
Ketua Hakim Syarie Selangor, Nenney Shuhaidah yang merupakan wanita pertama menjadi Ketua Hakim Syarie negeri di Malaysia menyifatkan beliau perlu menghakimi berdasarkan bukti-bukti tanpa menyebelahi mana-mana jantina dalam pertikaian di mahkamah syariah.

‘Bila jadi hakim, saya bukanlah lelaki ataupun perempuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, wanita memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang, malah ramai kaum Hawa dilantik menjawat sesuatu jawatan yang penting.

Ini menjadi manifestasi bahawa wanita juga mempunyai kemampuan untuk memikul tanggungjawab besar.

Nenney Shuhaidah Shamsuddin antara wanita yang diamanahkan untuk memimpin institusi keadilan syariah apabila beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepadanya dalam satu istiadat di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, Selangor pada Oktober lalu.

Ia sekali gus menjadikan dirinya melakar sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri di Selangor dan Malaysia.

Sultan Sharafuddin berkenan mengurnia watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie Selangor kepada Nenney Shuhaidah pada Oktober lalu.

Mengulas tentang pelantikannya kepada K-Wanita, Nenney Shuhaidah menzahirkan rasa syukur kerana diberi tanggungjawab tersebut. Menurutnya, beliau tidak pernah mengimpikan untuk menjawat jawatan itu sebelum ini.

“Pertama sekali, apabila nama saya diangkat untuk mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Ketua Hakim Syarie saya merasakan adakah ini satu mimpi?

“Sebagai pegawai syariah wanita, kami tidak pernah mengimpikan akan menjadi ketua hakim, ini kerana sebelum ini pemegang jawatan ini adalah lelaki,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

Tambahnya, tanggungjawab untuk jawatan tersebut sangat besar dan beliau menerimanya sebagai satu amanah serta Semua itu adalah satu rezeki yang telah diatur oleh-Nya kepada dirinya.

Pelantikan Nenney Shuhaidah juga membuktikan wanita juga mempunyai kemampuan untuk mengetuai dan memimpin satu pentadbiran mahkamah.

Baginya, kepimpinan bukan soal jantina sebaliknya diukur berdasarkan kemampuan dan kredibiliti individu itu sendiri.

“Tidak semua lelaki mampu menjadi ketua dan bukan semua wanita juga mampu.

“Apa yang dinilai adalah personaliti individu itu sendiri dari segi pencapaian, pengalaman, bagaimana kemampuannya mengurus manusia dan sebagainya,” terang ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Sebelum menjawat jawatan Ketua Hakim Syarie, Nenney Shuhaidah juga pernah menjawat beberapa jawatan sepanjang kariernya antaranya peguam syarie, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Ketua Pendaftar dan lain-lain lagi.

NENNEY SHUHAIDAH menganggap jawatan yang diterima satu amanah besar, namun ia rezeki diatur Allah untuk dirinya. – AFIQ RAZALI

MENYOROT perjalanan kerjayanya, Nenney Shuhaidah bermula pada tahun 2001 sebagai pegawai syariah yang ditempatkan di Jabatan Guaman Selangor dan menjadi peguam syarie selama lima tahun.

Kemudian beliau dinaikkan pangkat dan dipindahkan ke Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bermula tahun 2005 hingga 2012.

Selepas itu, beliau ditempatkan di Jabatan Peguam Negara dan menjawat jawatan Peguam Kanan Syarie Persekutuan. Beliau kemudian pada 2016 telah mencipta sejarah apabila menjadi hakim wanita pertama mahkamah tinggi syariah di Malaysia bersama seorang wanita lain.

“Pada tahun 2016, saya berkhidmat di Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) apabila dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor sehingga 2020.

“Saya kemudian kembali ke JKSM dan bertugas sebagai Pengarah Bahagian Latihan sehingga 2023 sebelum kembali ke JAKESS dan bertugas sebagai Ketua Pendaftar sehingga Ogos 2025.

“Tahun lalu, saya sempat bertugas sebentar sebagai Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Selangor sebelum dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie pada Oktober,” kata Nenney Shuhaidah.

Sepanjang berkhidmat, beliau telah memikul pelbagai tanggungjawab dan melaksanakan amanah dengan sebaiknya.

Berkongsi tentang pengalaman kerja-kerjanya sebelum ini, Nenney Shuhaidah mengakui satu cabaran besar dihadapinya ketika menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah menjadi peguam syarie selama lima tahun dan biasa menghadap hakim.

“Ketika menjadi peguam, kita berada di bawah dan selalu memohon pertimbangan Yang Arif dan menyerahkan keputusan kepadanya.

“Kemudian, apabila dilantik menjadi hakim, saya pula berada di kedudukan itu dan harus mendengar permohonan peguam dan kemudian membuat keputusan.

“Sebelum bertugas sebagai hakim, saya ulang kaji semula undang-undang dan tatacara perbicaraan kerana tanggungjawabnya sangat berat kerana keputusan kini di tangan saya,” katanya.

Berhubung kes pula, kongsi Nenney Shuhaidah, kadar perceraian yang tinggi sebenarnya membawa kepada lebih banyak kes-kes berkaitan perceraian.

Nenney Shuhaidah menjelaskan, kes perceraian antara dua pasangan kemudian juga akan menyebabkan berlakunya kes-kes lain seperti hak jagaan anak, tuntutan nafkah dan lain-lain lagi.

Ketika menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, beliau mendengar dan membuat keputusan untuk pelbagai kes seumpamanya. Namun, kes yang memberi kesan emosi kepada Nenney Shuhaidah adalah kes berkaitan kes hak jagaan anak.

“Kes ini memberi sedikit kesan emosi kerana saya perlu membuat keputusan dan memilih siapa yang boleh menjaga anak dengan lebih baik.

“Tetapi pada saya, apabila menjadi hakim saya bukanlah lelaki ataupun perempuan tetapi saya adalah hakim untuk tidak menyebelahi pada mana-mana jantina.

“Sebagai hakim saya akan melihat kepada semua bukti yang dikemukakan dan akan membuat keputusan berdasarkan kebajikan anak lebih terjaga sama ada ibu atau ayah,” kongsinya.

Beliau juga sering menitipkan pesan kepada pasangan yang bercerai supaya tidak menjadikan anak sebagai mangsa permusuhan selepas berpisah.

Ini kerana, anak akan menanggung kesan emosi apabila ibu dan bapa berpisah.

Sementara itu, Nenney Shuhaidah berkata, perjalanannya di dalam kerjanya itu juga banyak mengubah dirinya. Dahulu beliau seorang yang introvert iaitu pendiam dan kurang yakin bercakap.

“Tetapi perjalanan kerjaya yang penuh cabaran membentuk saya menjadi lebih yakin. Pengalaman dan tanggungjawab memaksa saya keluar dari zon selesa, saya percaya setiap perjalanan hidup akan membentuk siapa diri kita hari ini,” terangnya.

Nenney Shuhaidah mengakui, apa yang dicapainya hari ini dibentuk oleh kedua-dua ibu bapanya.

Menurutnya, ketika kecil dia sebenarnya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

“Tetapi ibu saya mahu saya belajar agama dan saya ikut katanya dan belajar di Sekolah Menengah Agama Simpang Lima di Sabak Bernam, Selangor.

“Selain tu, ketika kecil saya juga sering menonton televisyen dan melihat drama perempuan ditinggalkan suami, tidak diberikan nafkah dan sebagainya mendorong saya untuk membantu golongan ini dan menyimpan hasrat untuk mengambil bahagian undang-undang apabila masuk ke universiti,” terangnya.

Setelah tamat alam persekolahan, beliau meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam major dalam undang-undang syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun disebabkan kegawatan ekonomi pada 1998, beliau sukar untuk mendapatkan pekerjaan dan Nenney Shuhaidah mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang psikologi kaunseling.

Setelah tamat belajar beliau memilih untuk bekerja dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang sebagai kaunselor selama dua bulan.

Seterusnya, beliau mendapat tawaran untuk menjadi penjawat awam dan bertugas sebagai Pegawai Syariah.

Kini beliau telah berkhidmat selama hampir 26 tahun dan Nenney Shuhaidah telah memberikan sumbangan besar kepada institusi keadilan syariah.

Malah, pencapaiannya juga telah membolehkannya mendapat pengiktirafan pihak luar. Sebelum ini, British Broadcasting Corporation (BBC) telah mengiktiraf beliau sebagai 100 Wanita Inspirasi dan Berpengaruh di Dunia 2018.

Pada tahun lalu, beliau turut dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Affin Invikta Top 50 Women of Excellence Awards 2025 yang mengiktiraf wanita-wanita paling berinspirasi di Malaysia.

Nenney Shuhaidah sangat berbesar hati menerima anugerah tersebut, baginya sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang syariah beliau menganggap pengiktirafan tersebut sangat bermakna.

“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan pengiktirafan ini menunjukkan bahawa bidang syariah ini dihargai.

“Selain itu, anugerah seperti ini amat baik untuk mengangkat wanita di Malaysia, tidak kira bidang apa sekalipun,” katanya.

Tambah Nenney Shuhaidah, semua bidang penting dan wanita kini memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembangunan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN