fbpx

Empat pencuri tabung masjid diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Kelicikan empat pencuri melarikan tabung Masjid Kristal, Seksyen 7, di sini akhirnya tumpas selepas diberkas dalam serbuan berasingan, baru-baru ini.

Serbuan selama dua hari bermula 22 Februari lalu berjaya menahan kesemua suspek lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 hingga 26 tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (D4 dan D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda.

Katanya, ia melibatkan sekitar Seksyen 13, di sini selain di hadapan Sky Suite KLCC, Arte Subang West serta sebuah pangsapuri di Desa Tanjung, Seri Kembangan.

“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripadanya didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Beliau menjelaskan, polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Avanza selain empat unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM200.

Dalam pada itu, Shazeli menasihatkan pengurusan masjid dan surau supaya memastikan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik serta mengosongkan tabung kutipan secara berkala sebagai langkah pencegahan.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan maklumat segera kepada pihak polis sekiranya mengesan individu mencurigakan di kawasan rumah ibadat bagi memastikan keselamatan dan kesuciannya terus terpelihara,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki bertindak berani melarikan tabung derma milik Masjid Seksyen 7, di sini Sabtu lalu. Perbuatan jahat mereka pada pukul 4 pagi berjaya dirakam CCTV di masjid berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN