CHANGLUN – Isu kebocoran sempadan oleh warga India ke negara ini terjawab apabila mereka disyaki menjadikan Thailand sebagai transit sebelum menyusup ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam atau Durian Burung bagi meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.
Mereka terbang dari negara asal dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Thailand seperti Suvarnabhumi di Bangkok atau Hatyai sebelum masuk ke Malaysia melalui jalan darat.
Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, taktik baharu yang lebih licik itu dikenali sebagai ‘pelancong U-turn’ ekoran kawalan lebih ketat dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, mereka tiba sebagai pelancong di Thailand tetapi tujuan sebenarnya ialah untuk menyusup ke Malaysia secara haram.
“Ada yang lebih membimbangkan iaitu terdapat warga Indonesia juga menggunakan helah sama apabila mereka terbang ke Hatyai sebelum masuk ke sini melalui jalan tikus di sempadan.
“Ia sebahagian bukti bahawa taktik transit melalui Thailand adalah satu modus operandi yang terancang dan digunakan oleh pelbagai sindiket rentas sempadan,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! mengenai kebanjiran warga India yang sebelum ini menjadikan pekan Changlun sebagai lokasi transit sebaik sahaja melepasi pemeriksaan di sempadan Malaysia-Thailand, kini mereka beralih ke Jitra.
Mereka didapati berkumpul di Stesen Bas Tanah Merah di sini sebelum meneruskan perjalanan menaiki bas ke destinasi-destinasi lain terutama Kuala Lumpur dan Johor Bahru sambil membawa beg galas dan bagasi besar.
Zalmizy mencadangkan beberapa langkah tambahan yang lebih spesifik iaitu Kementerian Dalam Negeri perlu segera menjalin kerjasama pintar dengan imigresen Thailand untuk berkongsi data penumpang penerbangan dari India.
Tambahnya, jika pihak berkuasa dapat mengesan corak penerbangan dari India ke Hatyai atau Bangkok yang kemudian disambung dengan perjalanan darat ke sempadan Malaysia, mereka boleh disenaraihitamkan sebelum mereka sempat mendarat.
“Selain itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan perlu menempatkan pegawai risikan di lapangan terbang antarabangsa Hatyai.
“Dengan kehadiran pegawai di sana, mereka boleh bekerjasama dengan pihak Thailand untuk memantau dan menyoal siasat warga India yang mencurigakan sebelum mereka sempat menaiki bas atau kenderaan ke sempadan,” katanya.
Ujar Zalmizy, kerajaan juga perlu memperkenalkan satu sistem prabidaan untuk semua warga asing yang ingin masuk melalui sempadan darat, khususnya mereka yang datang dari Thailand.
“Sistem ini boleh mewajibkan pengisian borang MDAC yang lebih terperinci termasuk destinasi penginapan yang mesti disahkan tempahannya,” ujarnya.
Zalmizy berkata, kerajaan pada masa sama perlu menggiatkan lagi operasi bersepadu di Changlun dan kawasan sekitarnya memandangkan lokasi itu merupakan pusat transit utama sebelum mereka dihantar ke bandar-bandar besar.
“Tumpuan perlu diberikan kepada bas ekspres yang tiba dari Thailand dan menurunkan penumpang di Changlun,” katanya.
Tambahnya, langkah paling penting adalah untuk memutuskan rantaian ini di peringkat antarabangsa dengan Malaysia perlu mendesak kerajaan Thailand untuk memperketatkan kawalan visa kemasukan warganegara India ke negara mereka.
“Selagi Thailand menjadi pintu belakang yang longgar, sindiket akan terus mengeksploitasi kelemahan ini. Kerjasama dua hala yang lebih erat, termasuk pertukaran risikan dan operasi bersama, adalah amat mustahak untuk membendung taktik transit Thailand yang semakin berleluasa ini,” katanya.














