HARI ini, laut Mediterranean bakal menyaksikan kebangkitan global apabila delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 secara rasmi memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol menuju ke Gaza, Palestin.
Misi bersejarah yang melibatkan lebih 100 buah kapal dengan kekuatan seramai 1,000 orang aktivis dari seluruh dunia itu bertekad untuk memecahkan kepungan haram rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
Berbeza dengan edisi terdahulu, pelayaran kali ini turut membawa mandat kedaulatan Malaysia selepas mendapat sokongan padu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelayaran kemanusiaan ke Gaza tersebut juga disifatkan sebagai satu misi khas negara yang secara tidak langsung berjaya menyatukan diplomasi antarabangsa serta mendesak perundangan global terhadap rejim Zionis Israel.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Ridzauddin Roslan bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center, Datuk Dr. Sany Araby Abdul Alim bagi mengupas mengenai perjalanan misi GSF2.0 dan usaha global bagi membawa Israel ke muka pengadilan serta strategi di sebalik pelayaran yang dianggap sebagai kemenangan kesatuan 100 negara ini.

KOSMO! AHAD: Boleh kongsikan mengenai misi pelayaran GSF 2.0 yang akan memulakan pelayaran ke Gaza hari ini?
SANY ARABY: GSF 2.0 adalah manifestasi kekuatan 100 buah negara bersatu sebagai mukadimah kepada pembebasan Gaza.
Misi ini diperkukuh dengan kehadiran pihak perundangan dunia sebagai benteng perundangan global bagi memastikan operasi mematuhi undang-undang maritim, di mana pada misi lalu sebuah kapal khas pemerhati perundangan telah disediakan.
Uniknya kali ini, kita turut menyediakan sebuah kapal untuk doktor bagi merawat delegasi yang memerlukan bantuan perubatan di tengah laut. Selain itu, jumlah peserta dari blok Eropah yang kian meningkat memberi terjemahan bahawa sokongan global kini berada pada tahap puncak.
Berapakah jumlah peserta dari Malaysia dan adakah mereka mempunyai peranan tertentu?
Atas faktor keselamatan strategik, jumlah akhir delegasi Malaysia akan hanya didedahkan sejurus titik pelayaran yang sesuai dimulakan.
Namun, apa yang pasti, jumlah kali ini jauh lebih ramai dan melibatkan penglibatan inklusif pelbagai kaum.
Menariknya, penyertaan kita turut melibatkan dua peserta bukan Muslim iaitu seorang doktor dari kaum Cina dan seorang peserta India yang berpengalaman dalam selok-belok kapal sebagai kru.
Kita juga mengetengahkan inisiatif Women’s Boat to Gaza menonjolkan elemen penting wanita dunia sebagai pengemudi iaitu daripada kru sehingga kepada kapten kapal.
Ini bukti bahawa isu Palestin adalah titik pertemuan kemanusiaan sejagat.
Difahamkan ada peserta GSF 1.0 yang turut serta. Adakah pengalaman mereka digunakan secara khusus?
Benar, ada peserta misi pertama dipilih semula sebagai penyelaras mewakili penganjur dan bertindak sebagai kru kapal. Kita perlu terima hakikat, mereka kini bukan sekadar pelaut biasa, tetapi ahli samudera yang telah mengharungi lebih 700 jam pelayaran merentas gelombang Laut Mediterranean.
Mereka memahami sepenuhnya suka duka kehidupan di atas kapal, termasuk kental berdepan cabaran fizikal seperti mabuk laut, catuan makanan, kegelapan malam dan pelbagai lagi.
Mereka bukan ‘pelaut air tenang’, tetapi pelaut yang sudah faham akan aspek ‘Maritime Security’ secara praktikal.
Lebih daripada itu, mereka membawa ‘luka’ perjuangan yang menjadi lencana keberanian dengan pernah melalui pengalaman pahit diganggu serta diserang dron sekutu pihak rejim, malah ada yang telah melalui fasa diculik dan ditahan secara haram sehingga dipenjarakan sebelum dibebaskan.
Bezanya kali ini, delegasi menjadi kru kita perkukuh di mana mereka diwajibkan menjalani Kursus Pelaut yang diselia dan diiktiraf oleh Jabatan Laut Malaysia.
Kejayaan memperoleh Kad serta Buku Pelaut kini menjadi ‘pasport’ rasmi untuk bertugas secara profesional.
Apakah indikator kejayaan yang mahu dicapai melalui misi GSF 2.0 ini?
Kita harus mengukur kejayaan misi ini bukan sekadar melalui lensa berjaya sampai bantuan dan tembusi Gaza atau tidak.
Misi GSF lalu contohnya, objektif strategik kita adalah untuk membedah dua tembok besar iaitu Break the Silence (Memecah Kesunyian) dan Break the Siege (Memecah Kepungan).
Dari sudut Break the Silence, kita mencatat kemenangan naratif luar biasa apabila isu Gaza diangkat ke puncak agenda nasional dan antarabangsa. Bagi indikator Break the Siege, momentum kejayaan dunia juga berpihak kepada Palestin termasuk berjaya menzahirkan isu itu di pentas kepimpinan dan diplomatik Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Boleh perincikan latar belakang pemohon Malaysia yang sanggup meredah risiko ini?
Spektrum pemohon kita sangat luas kerana merentasi penjawat awam seperti guru, media, jurutera, ahli perniagaan sehingga kepada pakar perubatan yang sanggup mengeluarkan dana sendiri.
Kita juga guna pengaruh diplomasi pada tahap tinggi.
Berdasarkan pengalaman lalu, sahabat delegasi kita dari Sepanyol dan Itali berjaya melobi dan mendesak kerajaan mereka menggerakkan aset pertahanan seperti satu kapal frigat dari Sepanyol dan dua frigat dari Itali untuk berada sehingga garisan kuning bagi memantau keselamatan delegasi.
Berapa lama anggaran pelayaran ini dan adakah krisis Iran-Israel turut memberi kesan?
Kita jangkakan pelayaran mengambil masa sekitar 30 hari. Mengenai krisis Iran-Israel, kita sifatkan ia sebagai medan ‘buku bertemu ruas’ di mana pihak yang selama ini berasakan diri mereka polis dunia dan kebal sebenarnya kian melemah.
Situasi ini membangkitkan rasa berani kepada delegasi bahawa kepungan rejim mampu dipecahkan dengan kesatuan masyarakat antarabangsa dizahirkan dalam misi seperti ini.
Ada stigma mengenai risiko ditahan rejim, apa ulasan Datuk?
Pertama, kita harus faham misi ini berlayar di bawah panji Undang-Undang Maritim Antarabangsa, khususnya berpasakkan kepada Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Berdasarkan Perkara 87 dan 90 UNCLOS, kita menggunakan laluan laut antarabangsa yang sah secara prinsip Freedom of Navigation. Di bawah mandat ini, mana-mana pihak tidak mempunyai hak kedaulatan untuk memintas, menahan atau menyerang kapal awam yang membawa bantuan kemanusiaan tanpa sebarang elemen persenjataan di perairan antarabangsa.
Ini bukan misi semberono dan ia adalah gerakan dipantau oleh pakar perundangan dunia untuk memastikan setiap tindakan kita tidak melanggar protokol global.
Kepada netizen yang bertanya kenapa perlu pergi walaupun sudah tahu risikonya, saya tanyakan kembali, jika kita terus tunduk kepada ketakutan dan membiarkan undang-undang antarabangsa dipijak, apakah pilihan dunia ada untuk memerdekakan Palestin?
Selain GSF 2.0, apa status Misi 30 Kontena Malaysia melalui jalan darat?
Misi Bantuan 30 Kontena Malaysia ke Gaza digerakkan melalui jalan darat di Rafah untuk menyalurkan makanan dan ubat-ubatan. Misi ini adalah anjuran penuh Malaysia dan bukan di bawah GSF.
Di bawah koordinasi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), kita bergabung antara NGO, Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan misi bantuan disasarkan dapat menyantuni lebih 100,000 rakyat Palestin.
Walaupun cabaran tetap ada dan berisiko, kepimpinan tertinggi negara telah melakukan usaha diplomatik dengan Perdana Menteri telah menghubungi Presiden Mesir untuk memohon laluan dan bantuan koordinasi dimudahkan.
Biarpun pintu Rafah disekat rejim Zionis, usaha Menteri Luar yang mempunyai hubungan baik dengan negara Islam termasuk Mesir juga menjadi tambah nilai untuk misi ini dijayakan. Cepat atau lambat, kita mohon doa rakyat malaysia agar semua bantuan ini berjaya sampai kepada tangan keluarga Gaza.














