LONDON – Sebuah zoo di Britain terpaksa menidurkan dua ekor haiwan yang akrab pada hari sama agar salah seekor daripadanya tidak menjalani kehidupan bersendirian, lapor akhbar Metro UK.
Penjaga Zoo Newquay di Cornwallzoo menidurkan seekor capybara berusia sembilan tahun bernama Johnson dan seekor tapir Brazil berusia 20 tahun bernama AI selepas kedua-dua haiwan itu mengalami masalah kesihatan berkaitan usia.
Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan ‘sahabat setia’ tersebut berasa terasing atau sunyi apabila salah seekor daripada mereka mati terlebih dahulu.
Jurucakap Zoo Newquay berkata, AI dan Johnson menjadi sahabat selama beberapa tahun dan kedua-duanya mengalami masalah kesihatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
“Sukar bagi kami untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dua sahabat baik pada masa yang sama tetapi itu adalah perkara paling baik untuk haiwan-haiwan itu.
“Kedua-duanya adalah ahli komuniti zoo kami yang sangat disayangi dan ketiadaan mereka akan dirasai oleh kakitangan serta pengunjung,” kata jurucakap tersebut. – AGENSI














