fbpx
Salah satu babak yang membabitkan pelajar melakonkan drama bertemakan kehidupan kampus.

Festival drama bertema kehidupan kampus buka ruang kreativiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM usaha mengetengahkan bakat serta kreativiti pelajar dalam persembahan drama, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) melalui Fakulti Pendidikan, Sains Sosial dan Kemanusiaan (FESSH) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan FESSH Drama Festival 2026: Still Standing.

Festival itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan amali melalui Kursus ELR 2143: Advanced Drama in ESL.

Langkah itu bagi memberi peluang kepada para pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam konteks sebenar melalui persembahan drama.

Persembahan drama tersebut telah berlangsung dengan jayanya di Auditorium, Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Selangor baru-baru ini.

Persembahan berkenaan melibatkan pelajar daripada tiga program pengajian, iaitu Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Pengajian Bahasa Inggeris Gunaan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Sharifah SYAHIRAH (tengah) bergambar bersama barisan pensyarah yang terlibat menjayakan FESSH Drama Festival 2026 di Auditorium Menara MPAJ, Selangor baru-baru ini. – EHSAN UPTM

Sementara itu, pensyarah Bahasa Inggeris UPTM, Raja Nurul Nadia Raja Abdul Razak berkata, program tersebut dianjurkan sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan amali menerusi kursus ELR 2143: Advanced Drama in ESL.

Menurutnya, persembahan drama tersebut juga berfungsi sebagai penilaian akhir bagi pelajar tiga program pengajian iaitu pengajian bahasa Inggeris gunaan, pendidikan awal kanak-kanak dan TESL.

“Bagi edisi kali ini, seramai 407 orang pelajar telah terlibat dan mereka dibahagikan kepada 11 kumpulan produksi.

“Setiap produksi bertanggungjawab menghasilkan sebuah pementasan drama berdurasi sekitar 45 minit.

“Ini secara tidak langsung menjadikan menjadikan festival berkenaan sebagai platform berskala besar yang menggabungkan elemen akademik dan seni persembahan,” katanya.

Tambahnya, kesemua produksi itu dilaksanakan dengan bimbingan dan sokongan daripada pensyarah kursus iaitu dirinya sendiri bersama tiga pensyarah lain, Farhan Ahlaamie Pakrudin, Mohamad Iadid Ashrai Hassannudin dan Nur Diana Adnan.

Menariknya, festival tersebut bukan sekadar menampilkan bakat lakonan pelajar.

Sebaliknya, pelajar perlu terlibat dalam pelbagai peranan lain seperti pengarah, penulis skrip, pasukan teknikal, logistik dan pengurusan pentas.

Jadi, semua pelajar memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran persembahan setiap kumpulan.

SEMUA pelajar dalam setiap kumpulan mempunyai peranan masing-masing bagi menjayakan persembahan drama.

Menurut Raja Nurul Nadia lagi, melalui persembahan tersebut, para pelajar dapat mempelajari aspek pengurusan produksi secara praktikal.

“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja belajar tentang lakonan, malah mengurus produksi secara menyeluruh, termasuk kerja berpasukan, komunikasi dan penyelesaian masalah.

“Setiap produksi diberikan tema kehidupan kampus untuk menjayakan persembahan tersebut dan mereka diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengembangkan idea, menulis skrip dan membentuk jalan cerita masing-masing,” katanya.

Menariknya, pendekatan itu turut membuka ruang kepada kreativiti pelajar untuk menghasilkan karya yang unik dan dekat dengan realiti kehidupan mereka.

Festival tersebut turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), serta penglibatan rakan kolaborasi iaitu Twinkle Studio dan Notorious Playhouse bagi menjayakan keseluruhan festival itu.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPTM, Prof. Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh.

Secara keseluruhannya, penganjuran festival tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan akademik.

Bahkah festival berkenaan menjadi medan pembelajaran holistik yang menggabungkan seni, pengurusan dan kerjasama berpasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN