DI Malaysia, terdapat banyak universiti awam dan swasta yang menawarkan program perakaunan serta kewangan. Malah, ada universiti di negara ini berada dalam senarai QS World University Rankings by Subject 2026 bagi program perakaunan dan kewangan.
Di sini, K-Kampus menyenaraikan lima universiti terbaik bagi program perakaunan dan kewangan berdasarkan ranking terkini dikeluarkan oleh QS World University Rankings yang dikemas kini 25 Mac lalu dengan mengupas kelebihan masing-masing. Ia juga boleh dijadikan panduan buat pelajar yang mahu melanjutkan pengajian dalam bidang tersebut.
1- Universiti Malaya (UM)

Program perakaunan dan kewangan UM berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan kelompok 65 terbaik di dunia.
Berdasarkan maklumat daripada portal Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di UM diiktiraf di peringkat nasional dan antarabangsa.
Program ini diiktiraf di bawah Jadual 1 Akta Akauntan 1967 dan graduan program ini layak mendaftar sebagai ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Namun, ia tertakluk kepada tiga tahun pengalaman perakaunan praktikal seperti yang ditetapkan dalam Bahagian IV Akta Akauntan 1967.
Selain itu, program tersebut diiktiraf oleh badan profesional perakaunan antarabangsa yang lain seperti Chartered Financial Analyst Institute (CFA), The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan lain-lain lagi.
Matlamat program tersebut adalah untuk melengkapkan graduan dengan kefahaman praktikal dan konseptual.
Mereka akan didedahkan tentang kaedah serta teknik perakaunan, kemahiran, kepimpinan, nilai etika serta penghayatan terhadap hubungan antara disiplin dalam bidang perakaunan.
Kurikulum juga dibangunkan untuk menyediakan pelajar bagi kerjaya dalam bidang perakaunan sama ada di sektor swasta atau kerajaan.
2- Universiti Utara Malaysia (UUM)

UUM mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa dalam program perakaunan dan kewangan apabila berada dalam kedudukan 101-150 dalam QS World University Rankings by Subject 2026, berbanding di kedudukan 151-200 sebelum ini.
Kedudukan baharu ini membolehkan UUM melonjak ke kedudukan nombor satu terbaik dalam negara bagi indikator sitasi dan H-indeks, dan kedua terbaik secara keseluruhan bagi universiti di dalam negara.
Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), UUM, Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali berkata, penerbitan berkualiti menjadi faktor yang membolehkan universiti itu berada pada kedudukan tersebut.
“Dari aspek sitasi dan H-indeks, UUM berada di kedudukan pertama di dalam negara dalam bidang perakaunan dan kewangan. Ia disumbangkan oleh penerbitan yang berkualiti tinggi, hasil daripada penyelidikan terdahulu.
“Apabila penerbitan kita dipetik oleh ramai penulis atau penyelidik lain, ini membuktikan penyelidikan kita berkualiti tinggi,” katanya.
Tambahnya, penyelidikan yang dilakukan bukan sekadar fundamental, malah merangkumi aplikasi dan inovasi.
Penyelidikan yang dilakukan oleh pelajar TISSA berkait rapat dengan pihak industri.
Ini kerana TISSA sering berbincang dengan industri untuk mengetahui isu-isu yang boleh diketengahkan.
Dalam masa sama, Raja Haslinda menjelaskan, kolaborasi antarabangsa juga memainkan peranan penting dan pihaknya telah menjalinkan memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa pihak dari Perancis, Jepun serta Indonesia.
“Selain itu, program akademik kita juga relevan kerana melihat apa yang diperlukan oleh industri dan mengikut perkembangan terkini.
“Kami juga mengikut kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Dalam masa sama, kurikulum bagi program kita juga dibangunkan secara dinamik, dengan menjemput pihak industri untuk terlibat sama menilai kurikulum dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dr. Raja Haslinda memaklumkan, elemen terkini yang telah dimasukkan di dalam silibus pengajian merangkumi pendigitilan, kecerdasan buatan (AI) serta elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Langkah tersebut bagi memastikan graduan perakaunan dan kewangan yang dilahirkan oleh UUM sentiasa relevan serta kompetitif di peringkat global atau antarabangsa.
3- Universiti Taylor’s

Bagi program perakaunan dan kewangan, Universiti Taylor’s berada di ranking 151 hingga 200 dunia.
Dekan Eksekutif, Fakulti Perniagaan dan Undang-Undang, Universiti Taylor’s, Prof. Dr. Eddy Chong Siong Choy berkata, kedudukan ini mencerminkan usaha berterusan dalam membina sebuah pusat pengajian yang bukan sahaja berteraskan disiplin, malah responsif terhadap perubahan masa depan profesion.
Menurutnya, pihaknya secara konsisten sentiasa memperkukuhkan aspek penting seperti relevansi kurikulum, kualiti pengajaran, penglibatan industri, pengiktirafan profesional, kualiti tenaga akademik, budaya penyelidikan dan kebolehpasaran graduan.
“Bidang perakaunan dan kewangan tidak dilihat sebagai statik, sebaliknya pelajar disediakan untuk menghadapi perubahan dipacu teknologi, kelestarian, peraturan serta model perniagaan baharu.
“Program ini turut menekankan kemahiran digital, pertimbangan etika, keupayaan membuat keputusan serta pendedahan kepada konteks industri sebenar,” katanya.
Tambahnya, semua tenaga akademik di Universiti Taylor’s memiliki kelayakan doktor falsafah (PhD) dan aktif dalam penyelidikan, sekali gus mengukuhkan kualiti pengajaran.
Selain itu, penyelidikan dalam bidang seperti transformasi digital, ESG dan tingkah laku kewangan turut memperkayakan pembelajaran melalui kajian kes sebenar. Secara keseluruhan, pencapaian ini berpaksikan kekuatan substantif yang menggabungkan ketelitian akademik, relevansi masa depan dan impak lebih luas.
Siong Choy berkata, kurikulum program juga dibangunkan dengan asas teknikal yang kukuh, namun mengambil kira keperluan semasa industri.
“Graduan kini perlu berdepan persekitaran yang dipacu ‘fintech’, data, automasi, kelestarian dan perubahan global.
“Program seperti Accounting (FinTech) telah diperkenalkan. Kami juga menjadi antara yang terawal di Malaysia yang ada program ini,” jelasnya.
Tambahnya, pelajar juga didedahkan kepada perisian seperti Microsoft Access, QuickBooks, Bloomberg dan Python bagi memahami aplikasi sebenar dalam industri.
Selain kemahiran teknikal, aspek etika dan tanggungjawab profesional turut diberi penekanan.
4- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

UKM berada pada kedudukan keempat di Malaysia dan dalam kelompok 151 hingga 200 dunia.
Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM, Prof. Dr. Mohd Azlan Shah Zaidi berkata, kurikulum bidang pengajian perakaunan dan kewangan dibangunkan hasil input serta cadangan daripada pihak industri dari semasa ke semasa.
Menurutnya, program itu mempunyai penasihat antarabangsa dan penasihat industri untuk memastikan kursus-kursus yang ditawarkan sentiasa dikemas kini serta selari dengan kehendak industri pada masa kini.
“Koloborasi sering diadakan bersama badan profesional seperti Institut Akauntan Malaysia (MIA), The Malaysian Institute Of Certified Public Accountants (MICPA) dan The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk mendedahkan pelajar kepada alam pekerjaan sebenar.
“Selain itu, pensyarah-pensyarah di fakulti aktif membuat penyelidikan dan penerbitan dalam bidang terkini,” katanya.
5- Universiti Putra Malaysia (UPM)

Program perakaunan dan kewangan di UPM berada pada kedudukan kelima terbaik di Malaysia serta dalam kelompok 151 hingga 200 dunia.
Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin berkata, penekanan terhadap kualiti pengajaran menjadi tunjang utama pihaknya.
Menurutnya, UPM sentiasa memastikan kandungan pengajaran selari dengan kehendak industri semasa.
“Kita akan pastikan apa yang pensyarah ajar, sebenarnya diperlukan oleh pihak industri.
“Selain itu, kami ada beberapa orang pensyarah yang banyak menghasilkan jurnal-jurnal antarabangsa berimpak tinggi. Ini secara tidak langsung membantu meningkat reputasi kami di dalam bidang perakaunan dan kewangan,” katanya.
Tambahnya, hampir 99 peratus tenaga pengajar di dalam bidang tersebut memiliki doktor falsafah (PhD) daripada universiti ternama luar negara dan universiti tempatan.
Dari sudut pembangunan kurikulum pula, UPM mengamalkan pendekatan libat urus berterusan bersama industri.
Maklum balas daripada pemain industri dikumpulkan secara berkala.
“Dalam masa sama, kami turut melengkapkan pelajar dengan kemahiran insaniah seperti seperti komunikasi, kepimpinan.
“Paling terkini, kami sediakan mereka dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) hasil kerjasama bersama pihak Google untuk tingkatkan kemahiran AI pelajar,” katanya.















