SAUDARA PENGARANG,
Saya ingin melahirkan rasa kecewa dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) yang sehingga hari ini masih gagal menangani masalah penjual jajan di luar kawasan Sekolah Kebangsaan
(SK) Bangi.
Peniaga ini bukan sahaja secara terang-terangan tidak mempunyai lesen, malah menjual makanan yang tidak berkhasiat kepada murid sekolah.
Aktiviti penjualan ini juga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang sememangnya sudah sesak menjadi semakin teruk pada waktu tengah hari ini dan sesi petang.
Sebagai ibu bapa, kita tidak menafikan hak mereka untuk berniaga dan mencari rezeki tetapi cara berniaga seperti ini amat tidak wajar apatah lagi menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran mudah untuk mengaut keuntungan.
Selagi ada aktiviti penjual seperti ini, tentu sekali ibu bapa sukar untuk mengawal atau menyekat anak-anak mereka berbelanja memandangkan mereka amat tertarik dengan makanan tidak berkhasiat ini selain terikut-ikut dengan rakan.
Saya difahamkan sudah banyak aduan dikemukakan kepada pihak berkuasa terutama MPKJ, namun sehingga hari ini tiada tindakan berkesan diambil.
Jika begini keadaannya, sampai bila masalah ini akan berterusan?
Apakah bila berlaku kejadian buruk dan tidak diingini melibatkan makanan jajan ini baru pihak berkuasa mahu bertindak?
Sekali lagi saya memohon semua pihak bertanggungjawab supaya memikul amanah dengan baik demi kebaikan semua khususnya melibatkan kesihatan dan masa depan kanak-kanak.
BAPA PRIHATIN,
BANGI














