Baru-baru ini, satu pencapaian luar biasa telah menggegarkan komuniti peminat kereta kawalan jauh di seluruh dunia.
Hal ini tercetus susulan penciptaan The Beast iaitu kereta kawalan jauh (remote control) yang telah memecahkan rekod dunia untuk kelajuan tertinggi.
Menurut juruteranya, Stephen Wallis, The Beast dibina secara eksperimental bagi mencapai kelajuan sehingga 377.7 kilometer sejam (km/j).
“Rekod ini jauh melebihi kemampuan model kereta kawalan jauh biasa, bahkan lebih laju daripada kereta Formula Satu McLaren dengan purata 360 km/j.
“The Beast begitu luar biasa bukan hanya angka kelajuannya.
“Sebaliknya, cara ia direka dan dibangun untuk dijadikan demonstrasi inovasi kejuruteraan.
“The Beast menggabungkan konsep kenderaan udara tanpa pemandu (drones), teknologi kawalan pintar dan pemahaman tentang dinamik kenderaan pada skala kecil,” katanya dalam temu bual bersama portal berita BBC.

Menurut Wallis yang berasal dari Rugby, Britain, projek The Beast bermula dengan minat mendalamnya terhadap kereta kawalan jauh sejak zaman kanak-kanak.
“Saya mula terlibat dengan model kawalan jauh sejak berusia lapan tahun.
“Selepas beberapa tahun, minat itu berkembang menjadi satu obsesi kejuruteraan.
“Saya cuba menggabungkan pengetahuan mekanik dengan komponen elektronik canggih bagi menghasilkan kereta kawalan jauh paling laju,” ujarnya.
MENURUT Wallis, inspirasi terbesar dalam penciptaan The Beast bukan daripada dunia automotif tradisional, sebaliknya menerusi teknologi dron, khususnya multicopter.
“Konsep ini kemudian membentuk asas kepada reka bentuk The Beast.
“Dalam beberapa perkara, projek ini telah membuka lembaran baharu dalam pemikiran reka bentuk model kereta kawalan jauh.
“Saya bukan sekadar meningkatkan motor atau mengurangkan berat badan kereta, sebaliknya mengubah paradigma keseluruhan sistem penggerak dan kawalan,” ujarnya.
Kebanyakan kereta kawalan jauh laju menggunakan transmisi tradisional, rod stereng mekanikal dan casis ringan untuk mencapai kelajuan tinggi.
Bagaimanapun, The Beast menerapkan pendekatan yang hampir tidak pernah digunakan dalam kategori kereta model kawalan jauh sebelum ini.
Dengan menggunakan konsep quadcopter, Wallis meletakkan empat motor berkuasa tinggi pada setiap roda bagi menggantikan rangkaian gear dan transmisi kompleks.
Ini menyerupai cara motor dron mengendalikan tolakan dan stabiliti aerodinamik.
“Sistem kawalan bukan mekanikal semata-mata, sebaliknya ia melibatkan penggunaan accelerometer, gyroscope dan sensor stabiliti yang biasanya terdapat pada dron.
“Sistem ini dapat menyesuaikan kelajuan setiap motor secara pintar bagi memastikan kestabilan, terutamanya pada kelajuan ekstrem. Sedikit ketidakseimbangan boleh mengakibatkan kehilangan kawalan atau kerosakan struktur casis,” katanya.

Ujar Wallis, bagi mencapai kuasa yang diperlukan, dia menggunakan konfigurasi bateri luar biasa iaitu tiga bateri 6S bagi memberikan output sekitar 75.6 volt.
Itu merupakan tahap voltan tinggi untuk sebuah model kereta kawalan jauh.
Pendekatan itu juga mampu meningkatkan tenaga tersedia kepada motor tanpa sebarang beban tambahan daripada sistem penukaran tenaga rumit.
Selain itu, Wallis memutuskan untuk mengurangkan sedikit diameter tayar berbanding saiz standard bagi mengurangkan momentum putaran serta risiko tayar gelembung dan tercabut ketika mencapai kelajuan tinggi.
Ia merupakan satu contoh tepat bagaimana jurutera perlu mempertimbangkan kuasa dan aerodinamik serta sifat material bagi mencapai kelajuan ekstrem.
“Casis dan badan The Beast dibina menggunakan komponen yang dicetak secara tiga dimensi (3D), gentian karbon dan aluminium.
“Kombinasi ini memberikan kekuatan struktur yang tinggi sambil mengekalkan berat minimum.
“Penggunaan cetakan 3D memberi lebih fleksibiliti kepada jurutera untuk menyesuaikan setiap komponen mengikut keperluan kereta kawalan jauh,” jelasnya.
Sementara itu, dalam satu ujian kelajuan di Llanbedr Airfield, Wales, The Beast berjaya mencatat kepantasan sehingga 377.7 km/j.
Angka itu berjaya mengatasi rekod terdahulu untuk kereta kawalan jauh berkuasa bateri.
Malah, Guinness World Records (GWR) secara rasmi mengesahkan The Beast telah merekodkan kelajuan tertinggi pernah dicatatkan oleh kereta kawalan jauh bateri.
Menurut wakil daripada GWR, rekod itu telah menarik perhatian peminat kereta kawalan jauh dan industri teknologi miniatur.
Katanya, rekod itu membuktikan bahawa pendekatan inovatif dapat membawa hasil dramatik, walaupun pada sistem kereta kawalan jauh.
“Pencapaian The Beast memberi kesan yang jauh lebih besar daripada sekadar angka kelajuan.
“Ia telah mendorong pemikiran dalam reka bentuk sistem pacuan elektronik pada platform kecil.
“Ini secara tidak langsung membuka pintu kepada aplikasi teknologi berkenaan dalam robotik mobil, kenderaan autonomi berskala kecil atau eksperimen akademik,” katanya.
Malah, kejayaan itu boleh menjadi inspirasi kepada generasi muda dan penggemar teknologi untuk menggabungkan aspek mekanik, elektronik serta perisian dalam satu projek yang realistik.
Wallis juga berharap, projek The Beast akan mendorong lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).














