PONTIAN – Ketibaan Ramadan pada tahun ini membawa khabar gembira buat seorang ibu tunggal sembilan anak apabila memperoleh kediaman secara percuma atas nama sendiri 24 tahun hidup menyewa.
Junariah Ibrahim, 49, menerima rumah tersebut melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang disokong pelaksanaannya oleh GiatMara.
Menurutnya, rumah berharga RM82,000 dengan tiga bilik dan dua bilik air itu dibina pada bulan Mei 2025 dan siap tiga bulan kemudian.
“Alhamdulillah, setelah 24 tahun tinggal menyewa dengan kadar RM350 sebulan, ketibaan Ramadan kali ini membawa sinar baharu kepada kami sekeluarga.
“Dapatlah saya dan anak-anak berumur antara 13 hingga 29 tahun bersahur dan berbuka puasa buat kali pertama sekeluarga di dalam rumah kami sendiri,” katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Duku, Benut, di sini semalam.
Katanya, dia kehilangan suami, Abdul Halim Md. Ali yang meninggal pada usia 43 tahun kerana menghidapi penyakit jantung pada 2018.
Ujarnya, bagi menampung keperluan hidup dia bekerja sambilan membuat makanan tradisi Bugis seperti burasak dan lepat loi di Kampung Parit Tengah, Seri Merlong, Batu Pahat dengan pendapatan RM500 sebulan.
Selain itu katanya, dia menerima bantuan daripada Baitulmal Daerah Pontian sebanyak RM300 sebulan.
Junariah berkata, tiga orang anaknya berusia 17, 15 dan 13 tahun masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Betak, Benut.
“Kegembiraan menerima rumah baru ini turut dikongsi bersama dua menantu dan dua cucu yang akan pulang pada hari raya nanti,” ujarnya.














