JOHOR BAHRU – Sindiket penyeludupan migran dikesan mula menukar modus operandi dengan taktik menggunakan bot-bot kecil bagi membawa masuk atau keluar warga Indonesia melalui laluan laut yang tidak diwartakan di perairan selatan tanah air.
Taktik baharu itu dipercayai digunakan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa susulan beberapa insiden bot besar yang membawa puluhan penumpang karam sebelum ini.
Pelaksana Fungsi Penerangan, Sosial dan Budaya Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru (KJRI), Erry Kananga mendedahkan, sindiket sebelum ini menggunakan kaedah lama iaitu bot besar atau kapal tidak berdaftar yang mampu memuatkan puluhan individu.
Bagaimanapun katanya, perkembangan semasa dan faktor keselamatan menyebabkan sindiket kini lebih cenderung menggunakan bot fiber atau sampan nelayan bersaiz kecil.
“Sekarang mereka guna bot kecil, sekitar lapan hingga 10 orang sahaja setiap perjalanan.
“Bot lebih ringan dan laju, jadi sukar dikesan radar serta mudah meloloskan diri jika dikejar,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Erry, laluan yang sering menjadi tumpuan adalah perairan sempit antara Johor dan kepulauan di Indonesia termasuk kawasan berhampiran Batam dan Tanjung Balai.
Dedahnya, kawasan berkenaan dikenal pasti mempunyai banyak ‘jalan tikus’ di sepanjang pesisir pantai.
Difahamkan, kebanyakan migran yang menggunakan khidmat sindiket adalah individu yang tidak mempunyai permit kerja sah di Malaysia.
Selain itu katanya, ada juga individu yang terdesak menggunakan sindiket untuk pulang ke kampung halaman menjelang Ramadan dan Aidilfitri tanpa melalui pintu masuk rasmi.
“Ada juga yang masuk ke Malaysia menggunakan visa lawatan sosial, namun bekerja secara tidak sah sebelum memilih laluan belakang bagi mengelak ditahan pihak berkuasa ketika pulang,” katanya.
Sementara itu, sindiket dipercayai mengenakan bayaran ratusan hingga ribuan ringgit seorang bergantung kepada jarak dan risiko perjalanan, selain menjanjikan laluan selamat tanpa pemeriksaan imigresen.
Bagaimanapun, penggunaan bot kecil tidak menjamin keselamatan apabila keadaan laut bergelora boleh menyebabkan bot terbalik, lebih-lebih lagi jika membawa muatan melebihi kapasiti.
Pada Disember 2021, satu tragedi besar berlaku apabila sebuah bot yang membawa kira-kira 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia terbalik di Tanjung Balau, Kota Tinggi sekitar pukul 4.30 pagi.
Angka korban dalam insiden ini dilaporkan mencecah 21 orang maut, dengan puluhan lagi hilang dan terselamat.
Sebulan selepas itu iaitu pada Januari 2022, sebuah bot yang membawa 27 PATI Indonesia karam di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi sekitar pukul 4.30 pagi yang mengakibatkan dua orang maut, manakala 19 lagi berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa.














