fbpx
MIZAH (kiri) menceritakan semula kejadian tragis kehilangan suaminya angkara along kepada Jannahtul Ain dan Wartawan Kosmo! (kanan) di pejabat PWRN di Subang Jaya. – FAUZI BAHARUDIN Gambar kanan: ANTARA perbualan mesej antara along dengan Mizah.

Along ugut gali kubur suami sebab hutang RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Seorang iste­ri kehilangan insan tersayang da­lam keadaan tragis apabila suaminya membunuh diri selepas tidak lagi mampu menanggung hutang dan desakan sembilan along yang mengejarnya tanpa henti.

Biarpun peminjam telah tiada, along terus memburu isteri dan anak-anaknya bagi menuntut hutang RM50,000 termasuk mengugut untuk menggali semula kubur arwah kerana tidak percaya lelaki itu sudah meninggal dunia.

Mizah (bukan nama sebenar) berkata, suaminya berusia 40-an dipercayai membunuh diri di antara pukul 10 hingga 11 pagi di bilik air di rumah mereka di Se­remban pada September 2025, ketika dia keluar ke pasar.

“Sebelum saya keluar sekitar pukul 8.30 pagi, arwah nampak biasa sahaja, sempat tegur saya, tetapi apabila pulang, anak bongsu berumur 10 tahun suruh saya tengok ayahnya di bilik air dalam keadaan menangis.

“Berulang kali anak cakap ayah gantung, saya masih tak faham dan saya fikir suami saya ada gantung barang. Saya terus ke bilik air dan nampak arwah sudah tergantung.

“Lutut saya terus lemah. Saya campak semua barang di tangan dan hanya mampu menjerit, menangis,” katanya kepada Kosmo! ketika bertemu Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN), Jannahtul Ain Jaafar di pejabatnya di sini semalam.

Mizah, 40-an berkata, suami­nya yang bekerja di sebuah kilang di Kuala Lumpur aktif mengajar kanak-kanak mengaji di surau kawasan perumahan mereka.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan tiga cahaya mata yang kini berusia 11 hingga 15 tahun.

“Sepanjang perkahwinan, kami hanya berdepan masalah kewangan biasa, namun tidak pernah mengetahui suami pinjam duit along.

“Selepas meninggal dunia, baru saya jumpa mesej-mesej dalam te­lefonnya. Rupa-rupa­nya dia pinjam dengan hampir sembilan pihak (along),” ujarnya.

Katanya, selepas kematian suami, hidup mereka sekeluarga terus dihantui ugutan daripada along ekoran hutang yang ditinggalkan.

Akibat tekanan itu, Mizah terpaksa memajak barang kemas dan me­minjam wang daripada ahli keluarga serta rakan-rakan bagi melangsaikan sebahagian hutang.

“Saya sudah bayar lebih RM10,000 sebelum minta bantuan NGO (pertubuhan bukan kerajaan). Kawan-kawan arwah pun ada yang sanggup gadaikan barang mereka bagi membantu saya yang sering menerima ugutan along,” katanya.

Sementara itu, Jannahtul Ain berkata, pihaknya menerima kes itu pada Oktober 2025 selepas wanita tersebut dirujuk oleh rakan arwah untuk mendapatkan bantuannya.

“Hasil semakan telefon arwah mendapati dia sebenarnya menjadi mangsa scam pelaburan saham di Facebook. Pada awalnya dia labur sejumlah wang, kemudian scammer minta tambah bayaran kononnya untuk keluarkan keuntungan.

“Disebabkan terdesak nak selamatkan modal yang sudah le­bur, arwah mula meminjam daripada along satu demi satu untuk tutup pinjaman lain,” katanya.

Menurutnya, along terbabit turut menyedut semua data kenalan dalam telefon arwah dan menghubungi ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa bagi memberi tekanan.

“Mereka hubungi adik-beradik, kawan-kawan dan hantar gambar keluarga ke sekolah anak-anak untuk memalukan balu. Jumlah tuntutan awal mencecah RM50,000 termasuk bunga yang tidak munasabah,” ujarnya.

Katanya, pihak NGO bersama rakan strategik bertindak sebagai perunding dengan menyemak setiap rekod pinjaman dan menolak kadar faedah melampau.

“Kami hanya bersetuju bayar jumlah modal sahaja. Akhir­nya semua kes berjaya diselesaikan dengan jumlah sekitar RM38,000,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN