fbpx
KEITH KEE (tengah) bersama barisan model yang memperagakan koleksi Galloping in Blossoms di Petaling Jaya baru-baru ini.

Gemerlapan ceongsam moden sofistikated

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM budaya Cina, Tahun Kuda melambangkan tenaga, semangat bebas, keberanian dan ketangkasan.

Bersempena semangat itu, Keith Kee Couture menyambut Tahun Baharu Cina 2026 dengan koleksi Musim Bunga/Panas bertemakan Galloping in Blossoms.

Peragaan ini dipersembahkan dengan penuh kemegahan dan glamor kepada lebih 200 tetamu di Le Meridien Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam kolaborasi eksklusif bersama peruncit barang kemas terkemuka Malaysia, Poh Kong Jewellers, majlis tersebut menampilkan 30 set pakaian lengkap yang memukau.

Koleksi ini merangkumi ceongsam semikoktel yang bergaya, pakaian parti yang trendy dan classy serta ceongsam couture yang elegan.

Setiap rekaan menawan dipadankan dengan perhiasan dan batu permata mewah yang direka dengan cemerlang, menyatukan dua dunia kreatif dalam sebuah perayaan penuh kelas, sofistikated dan kemewahan.

Sebagai penghormatan kepada keseronokan ‘perlumbaan kuda’, Keith Kee mencipta rekaan yang menangkap dinamika dan kegembiraan.

“Saya mahu setiap penampilan bukan sahaja memukau dari segi fesyen, tetapi juga memancarkan semangat dan kegembiraan yang terasa ketika kejohanan kuda berlangsung.

“Koleksi ini secara dominan menggabungkan trend warna 2026, termasuk emas, biru muda, mustard, oren dan merah jambu,” katanya kepada CitaRasa.

MODEL terkenal, Amber Chia antara yang memperagakan koleksi ceongsam.

Dalam koleksi ini, ceongsam classy dipadankan dengan struktur jaket dan korset serta seluar, manakala motif bunga buatan tangan dan rumbai sofistikated memberikan sentuhan akhir persis kejohanan berkuda.

Model-model persembahan, termasuk selebriti Amber Chia tampil dengan rambut dikucir tinggi, dipadankan dengan fascinator chic lengkap dengan cambuk kuda fesyen di tangan untuk menyerlahkan imej perlumbaan kuda yang sebenar.

Jelasnya, rekaan adalah berkonsepkan separa formal bagi menarik minat khalayak yang lebih luas, namun pembinaannya adalah berteraskan couture seperti korset terbina dalam dan boning. Ini bagi mengekalkan siluet berstruktur yang sinonim fesyen couture.

Bercerita tentang inspirasi koleksi ini, Kee menekankan sifat kuda yang kuat: dinamisme, kebebasan dan kelajuan.

REKAAN berstruktur sinonim dengan fesyen couture.

“Apabila memakai rekaan Keith Kee Couture, saya mahu pelanggan bukan sahaja kelihatan bergaya, tetapi juga memancarkan keyakinan diri dan hadir dengan keanggunan mengagumkan di mana sahaja mereka berada,” tambahnya.

Keith Kee Couture merupakan rumah fesyen mewah terkenal dengan ceongsam moden dan couture elegan. 

Diasaskan oleh pereka fesyen tanah air, Keith Kee, jenama ini menonjol kerana menggabungkan tradisi klasik Cina dengan sentuhan kontemporari, rekaan sofistikated, glamor dan penuh kreativiti.

Jenama ini sering tampil dalam pertunjukan fesyen utama serta bekerjasama dengan jenama perhiasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN