BIARPUN sudah mengesahkan slot automatik ke Sukan Komanwel Glasgow 2026, jaguh angkat berat negara, Aznil Bidin enggan terus selesa apabila mahu menjadikan Kejohanan Asia di India, April ini sebagai medan menguji kekuatan.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel itu mahu menggunakan pentas Asia tersebut untuk memburu podium selain memecah rekod peribadi baharu (PB) bagi memastikan berada pada tahap terbaik sebelum ke Glasgow.
Aznil yang bersaing dalam kategori 65 kilogram (kg) menjelaskan, penyertaannya di India bukan sekadar melengkapkan jadual, sebaliknya bertujuan mencari rentak pertandingan bagi mengelakkan perasaan gementar apabila turun di pentas sebenar Sukan Komanwel kelak.
“Kriteria kelayakan adalah 10 terbaik dan saya sebenarnya sudah layak automatik ke Sukan Komanwel selepas mendapat nombor satu di India tahun lepas. Kejohanan bulan April ini lebih kepada atlet junior, namun saya tetap pergi sebagai persediaan.
“Saya perlukannya untuk mendapatkan pengalaman kejohanan supaya tidak rasa gementar bila di Sukan Komanwel nanti.
“Selain podium, sasaran saya adalah mengatasi rekod peribadi 306kg sewaktu saya meraih pingat perak pada Sukan SEA Thailand lalu,” katanya.
Rekod peribadi Aznil ketika ini menerusi angkatan 133kg bagi snatch dan 173kg untuk clean & jerk.
Ketika ditanya mengenai kecederaan, Aznil menyifatkan dirinya dalam keadaan terbaik dan meneruskan rutin latihan selepas berakhir Sukan SEA Thailand.














