UNTUK mencipta kemenangan di pentas antarabangsa bukan sekadar latihan dan membawa catatan rekod terbaik, tetapi perlu membawa ‘perang strategi’.
Itulah hakikat yang dihadapi skuad angkat berat negara, khususnya Mohamad Aznil Bidin yang baru-baru ini menggegarkan pentas Komanwel di Ahmedabad, India apabila menggondol pingat emas kategori 65 kilogram (kg).
Namun, di sebalik kejayaan itu, satu persoalan besar timbul, adakah strategi angkatan kita cukup untuk menjelmakan pingat di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat?
Aznil memulakan aksi dengan melakukan angkatan 125kg dan gagal melakukan dua angkatan 130kg dalam snatch dan selepas itu bangkit dengan angkatan 172kg dalam clean & jerk, sekali gus mencatatkan jumlah keseluruhan 297kg, cukup untuk dinobatkan sebagai juara di India.
Di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026, catatan itu berpeluang berada di atas podium atau membawa pulang emas tetapi di Sukan Olimpik catatan itu masih berbaki 21kg untuk menyamai rekod milik bintang Amerika Syarikat, Hampton Morris (318kg).
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, secara tegas menyatakan bahawa sudah tiba masanya pasukan negara meletakkan fokus kepada strategi pertandingan, bukan sekadar kekuatan fizikal semata-mata.
Menurutnya, pendekatan konvensional sudah tidak relevan dan strategi terlalu berhati-hati hanya membuka ruang kepada pencabar lain untuk mendominasi pertandingan.
“Ini bukan masa untuk main selamat. Ini masa untuk kita berperang. Kita kena berani ambil risiko, bukan sekadar ikut rentak lawan,” kata Ayub kepada Kosmo!.
Beliau memberi contoh bagaimana strategi itu diterapkan kepada Aznil apabila kem Malaysia memilih untuk meningkatkan bebanan dengan lebih agresif, sekali gus memberi tekanan awal kepada lawan dari India.
Tambahnya, mereka memilih untuk menaikkan angkatan sehingga 5kg atau 10kg secara terus dalam usaha memberi tekanan kepada lawan dan ia terbukti berkesan apabila atlet India melakukan kesilapan akibat tekanan awal yang dijana kem Malaysia.
Bukan hanya Aznil, malah Aniq Kasdan, yang turut menyumbang pingat perak, menerima pendekatan taktikal sama walaupun sedang berhadapan kecederaan bahu.
“Aznil ini orang lama dan berpengalaman. Umurnya 31 tahun dan dia sudah lalui naik turun dalam sukan ini, Kehilangan ibu tersayang memang satu tamparan besar, tapi dia masih mampu kawal emosi dan buktikan kekuatan sebenar di gelanggang,” jelasnya.
Musim ini juga menyaksikan Aznil beralih daripada kategori 67kg ke 65kg selepas perubahan struktur kelas oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) dan peralihan itu langsung tidak menjejaskan prestasinya, bahkan mencetus dominasi.
Namun begitu, cabaran sebenar menanti di pentas Olimpik. Hampton Morris, pemenang gangsa Olimpik Paris dalam kategori 61kg, kini menjadi ‘benchmark’ dunia dengan catatan 137kg (snatch) dan 181kg (clean & jerk) di Pan American Championships, Colombia.
Kejayaan di India menjadi petanda awal bahawa angkat berat Malaysia mula menyusun langkah strategik untuk mengejar kejayaan luar biasa di Olimpik.














