fbpx
PEMILIK kenderaan perlu segera meninggalkan stesen minyak selepas mengisi petrol bagi memberi laluan kepada orang lain menggunakan perkhidmatan itu. - GAMBAR HIASAN

Jangan ‘curi’ masa orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Jika kita ingin bercakap tentang tabiat atau sikap buruk pemandu kenderaan terutamanya kereta di negara ini, sudah pastinya tidak tersenarai kerana terlalu banyak yang boleh dibicarakan.

Sikap mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan perasaan orang lain sememangnya menjengkelkan dan tidak harus ditiru kerana kadangkala ia boleh mencetuskan polemik dan perbalahan.

Tidak sekali malah berkali-kali sikap segelintir masyarakat yang tidak cakna dengan masa orang lain dipaparkan di media sosial, namun ia masih berlaku seolah-olah tidak pernah selesai.

Mungkin ada di antara kita pernah mengalami situasi kurang menyenangkan di stesen minyak seperti pengguna yang selesai mengisi petrol masuk ke dalam kenderaan dan mengambil masa yang lama untuk bergerak.

Situasi ini sudah pasti menyusahkan pengguna lain yang perlu menunggu mereka beredar sebelum dapat mengisi petrol ke dalam kenderaan mereka.

Kadang-kadang mereka yang terlibat leka dengan telefon pintar selepas masuk semula ke dalam kenderaan dengan menyemak WhatsApp, ‘bermain’ TikTok dan sebagainya hingga tidak sedar ‘mencuri’ masa orang lain yang mungkin ada perkara penting perlu dibereskan.

Duduk terlalu lama di dalam kereta selepas mengisi minyak adalah amalan kurang sopan dan menghalang lalu lintas.

Sepatutnya, apabila selesai mengisi bahan api, pemandu perlu segera ‘menggerakkan’ kereta untuk memberi laluan kepada orang lain untuk berbuat demikian.

Apa yang paling dikesalkan terdapat segelintir individu yang meninggalkan kenderaan di petak untuk mengisi minyak dalam tempoh lama sama ada untuk ke tandas atau membeli barang di kedai serbaneka stesen minyak.

Jika ia berlaku di stesen minyak yang tidak berapa sibuk masih boleh diterima, tetapi kebanyakannya berlaku di kawasan yang sibuk dengan pelanggan keluar masuk untuk melakukan urusan masing-masing.

Sikap tidak bertanggungjawab dan menyusahkan orang ramai ini bukan sahaja boleh menaikkan darah mereka yang menunggu untuk mengisi minyak, tetapi juga menunjukkan sikap mementingkan diri.

Mungkin jika situasi ini terkena atas ‘batang hidung’ sendiri, mereka juga akan marah kerana terpaksa menunggu lama untuk melakukan urusan berkenaan.

Justeru, dalam hal ini perlu meletakkan diri sendiri dalam situasi pihak lain agar kita boleh memahami lebih mendalam perasaan mereka dalam banyak hal.

Sentiasa amalkan sikap bertimbang rasa untuk keselesaan semua pihak kerana siapa tahu esok atau lusa kita pun mengalami perkara yang sama.

Dalam erti kata lain sentiasa permudahkan urusan orang lain kerana tanpa kita sedar satu hari ini urusan kita juga akan dipermudahkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN