fbpx
Adyan yang berusia enam bulan meninggal dunia pada hujung tahun lalu dipercayai akibat tersedak susu.

‘Sampai bila nak tunggu, anak dah tiga bulan mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah tiga bulan berlalu, seorang ibu tetap mahu mencari keadilan atas kematian bayinya yang berusia enam bulan ketika di bawah jagaan pengasuh di Datuk Keramat, di sini pada hujung tahun lalu.

Noor Ainy Mohd. Rusly, 33, yang bekerja sebagai jurutera teknologi maklumat berkata, setakat ini dia dan suaminya masih tidak mengetahui me­ngenai punca kematian sebenar Adyan Suhayl Mohamad Syamil Safri yang meninggal dunia pada 26 November lalu.

Katanya, pada hari kejadian, dia menerima panggilan kira-kira pukul 3.40 petang daripada pe­ng­asuh yang memaklumkan bayi­nya tidak sedarkan diri sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang mengambil masa tiga minit perjalanan dari rumahnya.

“Sebaik sampai kami lihat Adyan terbaring kaku atas tilam, manakala pengasuh dan suami­nya melihat anak saya tanpa pera­saan cemas. Adyan dalam keada­an lemah ketika diangkat dan kulitnya bertukar kebiru-biruan.

“Kami segera membawa ­Adyan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur sebelum doktor mengesahkan anak saya ‘brought in dead’ (kes kematian di luar hospital),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Noor Ainy, maklumat awal bedah siasat menunjukkan bayinya tersedak susu semasa di bawah jagaan penga­suh sebelum siasatan dirujuk ke Jabatan Kimia.

Jelasnya, pengasuh itu memaklumkan, pada pukul 3 petang hari kejadian, dia memberikan susu Adyan sebelum bayinya dibedung dan dimasukkan ke dalam buaian.

“Pengasuh beritahu dia tinggalkan anak dalam masa 15 hingga 20 minit untuk ke dapur. Disebabkan rasa tidak sedap hati, dia pergi melihat anak dan mendapati Adyan menjadi biru dan banyak susu terkeluar.

“Bila saya tanya sama ada dia sendawakan bayi, dia teragak-agak nak menjawab macam tidak yakin,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, Noor Ainy membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Lebih mengecewakan, katanya, dia tidak pernah me­minta pengasuh itu membedung ba­yinya. Selain Adyan, terdapat tiga lagi bayi dan kanak-kanak berada di bawah jagaan pengasuh berusia dalam lingkungan 40-an tersebut.

Sehingga kini, Noor Ainy buntu kerana tiada perkembangan berhubung siasatan kes tersebut.

“Saya meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi apabila pihak mereka pergi ke rumah pangasuh itu, dia (pengasuh) sudah tidak menjaga kanak-kanak dan berpindah ke Sarawak,” katanya.

Noor Ainy berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan punca sebenar kematian bayi­nya terjawab dan tindakan sewajarnya dapat diambil sekiranya wujud unsur kecuaian.

“Saya mahukan keadilan atas kematian Adyan. Saya jadi marah dan sedih atas kehila­ngan Adyan. Kami mahu tahu apa yang berlaku ke atasnya.

“Kami (Noor Ainy dan suami) mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan sejak Disember lalu ­disebabkan emosi yang tidak stabil selepas kematian Adyan. Kami mahukan keadilan atas pemergian anak bongsu kami,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN