ROMPIN – Seorang bekas graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sanggup menolak beberapa tawaran kerja sebagai penjawat awam dan tidak mahu menyambung pengajian semata-mata hendak mengusahakan sawah padi kerana terlalu meminati bidang pertanian.
Muhammad Izzat Abdul Manaf, 27, yang memiliki Diploma Aktuari berkata, dia tekad untuk membuat bendang bagi menyambung tradisi datuk dan bapanya selain minatnya dalam bidang pertanian.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, dia nekad menolak tawaran pekerjaan di Majlis Perbandaran Kuantan dan pelbagai tawaran pekerjaan termasuk penjawat awam bagi menyempurnakan hasratnya dalam bidang pertanian.
“Saya mengusahakan tanah seluar 16.9 hektar sejak 2021 kerana mahu membuktikan pertanian mampu menyara kehidupan dan mahu menjadi petani moden termasuk menggunakan dron bagi kerja meracun serta membaja.
“Kalau bukan saya siapa lagi yang akan mewarisi kerja bersawah kerana kalau dilihat makin ramai anak muda tidak berminat dengan kerja ini yang pada masa ini amat mencabar dan tidak menjanjikan pendapatan lumayan,” katanya.
Menurut Muhammad Izzat, dia yakin dapat bertahan kerana percaya industri padi mampu menyinar pada masa akan datang memandangkan ia adalah makanan utama rakyat Malaysia.
Bagaimanapun tambahnya, dia berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kenaikan input pertanian dan serangan serangga perosak serta masalah infrastruktur.
“Setakat ini jumlah hasil padi paling tinggi pernah diperoleh adalah lebih dua metrik tan bagi satu ekar dan paling sedikit adalah sebanyak 300 kilogram bagi seekar,” katanya.
Ujar Muhammad Izzat, dia turut mengambil upah meracun dan menabur baja serta padi bagi menampung hasil padi yang tidak menentu selain mempunyai seorang pekerja.
“Kalau hendak mengharapkan sawah padi sahaja pada masa ini ini memang mencabar kerana keuntungan tidak berapa banyak, jadi upah dron menjadi sumber pendapatan saya yang lain.
“Saya harap kerajaan akan lebih banyak membantu petani termasuk dari segi kenaikan harga padi dan juga dalam aspek pemotongan peratusan jualan padi selain mempertingkatkan lagi subsidi,” ujarnya.














