ALOR GAJAH – Ibu dan ibu saudara kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang lemas dalam kolam air panas di sini malam tadi ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ahmad Abu Bakar berkata, mereka yang berusia 22 dan 27 tahun itu ditahan di lokasi kejadian hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ia berkaitan kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan cedera terhadap fizikal dan emosi. Rakaman percakapan itu dijangka selesai pada petang ini,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, kedua-dua wanita itu dijangka akan dilepaskan dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan pengebumian mangsa di Felda Keratong, Pahang petang ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan percutian sebuah keluarga di Melaka berakhir dengan tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun lemas ketika mandi di sebuah kolam air panas.
Dalam kejadian pada pukul 7.40 malam itu, mangsa yang datang bersama keluarganya dari Felda Keratong, Pahang dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terapung di dalam kolam dewasa.
Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Sukarelawan Paramedik Komuniti Melaka (Parakom) yang berada di lokasi sebelum bantuan kecemasan termasuk pernafasan kecemasan diberikan.
Kanak-kanak kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.- KOSMO! ONLINE














