PERJALANAN seni seseorang penyanyi bukan hanya diukur melalui vokal dan karya muzik tetapi turut tercermin melalui gaya fesyen yang dipersembahkan kepada khalayak.
Bagi penyanyi Krisya, fesyen merupakan satu bentuk ekspresi diri yang berkembang seiring kematangan usia, perubahan fasa kehidupan dan transformasi imej peribadi.
Dari gaya berani suatu ketika dahulu, pelantun lagu tema animasi Keluang Man itu kini tampil dengan pendekatan fesyen yang lebih ringkas, sopan dan eksklusif tanpa mengorbankan identiti sebagai penghibur pentas.
Pemilik nama lengkap Krisya Norsabrina Roslan itu menjelaskan bahawa konsep persembahan dan penampilan di Gegar Vaganza (GV) banyak dibantu oleh pihak profesional.
“Pakaian untuk persembahan ditaja sepenuhnya oleh Astro dan saya memberi kepercayaan kepada pasukan produksi untuk menguruskan tatarias mengikut kesesuaian genre lagu yang dipersembahkan.
“Garis panduan saya hanya dari segi pilihan warna dan material (bahan), selebihnya pasukan mereka yang akan realisasikan,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa selepas Konsert Gegar Vaganza di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, pendekatan ini membolehkan setiap persembahan tampil konsisten dari segi visual sekali gus menyokong emosi dan naratif lagu.

Sejak berhijab, Krisya mengakui rujukan fesyennya turut berubah. Inspirasi kini banyak diperoleh daripada platform dalam talian seperti Pinterest serta pemerhatian terhadap artis-artis berhijab yang menampilkan gaya versatil dan bersesuaian dengan usia.
Elemen kesesuaian menjadi faktor utama dalam pemilihan fesyen hari ini, sama ada untuk persembahan mahupun penampilan harian yang mencerminkan kematangan dalam membuat pilihan.
Kongsinya lagi, dalam kehidupan seharian, Krisya lebih cenderung kepada fesyen kasual yang ringkas dan selesa.
“Material kapas menjadi pilihan utama saya kerana sifatnya yang praktikal dan sesuai dengan rutin harian.
“Pakaian harian saya lazimnya berpotongan mudah, tidak sarat dengan corak dan menekankan keselesaan tanpa mengabaikan estetika.
“Pendekatan ini berbeza berbanding gaya terdahulu yang lebih berani dan eksperimental,” ujarnya.
Perubahan paling ketara dapat dilihat pada pemilihan warna. Jika dahulu, Krisya sinonim dengan rona terang dan kontras, kini dia lebih gemar warna asas dan natural.
Jelasnya, pilihan warna hari ini jauh lebih sederhana berbanding dahulu. Evolusi ini mencerminkan perubahan cita rasa serta kesedaran terhadap imej yang ingin ditampilkan sebagai seorang wanita matang dan berhijab.

Mengimbas kembali gaya lampau, Krisya tidak menafikan bahawa dirinya dahulu lebih berani dalam mencuba trend fesyen.
“Dulu saya lebih daring sebab belum bertudung, lebih berani cuba trend fesyen, namun hari ini pendekatan itu digantikan dengan gaya yang lebih konservatif, sopan dan eksklusif.
“Walaupun lebih terkawal, elemen keanggunan dan karakter tetap menjadi keutamaan dalam setiap penampilan,” katanya.
Dalam soal inspirasi tempatan, Krisya mengakui dia gemar melihat gaya beberapa figura fesyen dan selebriti wanita Malaysia seperti Dayang Nurfaizah, Nad Zainal dan Rozita Che Wan.
Ketiga-tiga ikon ini kadangkala dijadikan rujukan berdasarkan kesesuaian acara, khususnya dari segi siluet, padanan warna dan keseimbangan antara elegan serta praktikal.
Sepanjang penyertaannya dalam GV, hampir semua fesyen pentas yang digayakan menjadi kegemaran Krisya.
Ini menunjukkan bagaimana kerjasama erat antara artis dan pasukan kreatif mampu menghasilkan penampilan yang bukan sahaja memenuhi keperluan persembahan, malah meninggalkan impak visual kepada penonton.
Evolusi fesyen Krisya mencerminkan perjalanan seorang artis yang semakin memahami identiti dirinya.
Dari keberanian bereksperimen kepada kesederhanaan yang berkelas, perubahan ini bukan sekadar soal pakaian tetapi satu refleksi kematangan, keyakinan dan keselesaan dalam menjadi diri sendiri.
















