fbpx
Pelajar PhD UTHM, Natasya yang juga peminat K-pop dan drama Korea dinobatkan Juara Dunia Young Persons World Lecture Competition (YPWLC) 2025 baru-baru ini yang memerlukan peserta menyampaikan pembentangan kajian berkisar sains bahan yang kompleks kepada bentuk mudah difahami khalayak bukan pakar.

Juara Dunia YPWLC 2025: Peminat K-pop hebat bentang kajian kompleks jadi mudah faham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SEJAK sekolah menengah, saya telah menunjukkan minat yang konsisten terhadap mata pelajaran Fizik.

“Minat tersebut semakin berkembang apabila saya berpeluang mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan di peringkat daerah dan negeri.

“Justeru pengalaman berharga tersebut mengukuhkan keyakinan saya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang berkait rapat dengan sains dan teknologi iaitu kejuruteraan elektrik.”

Itulah yang menjadi punca Natasya Salsabiila Achmad Sodikkin memilih bidang kejuruteraan elektrik sewaktu melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di menara gading.

Minat terhadap bidang itu terbukti apabila dia masih meneruskan pengajian dalam jurusan sama di peringkat ijazah sarjana sehinggalah peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Kini, Natasya, 24, merupakan pelajar PhD kejuruteraan elektrik di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat, Johor.

Tidak sekadar menuntut ilmu dengan jadual harian padat, gadis berdarah kacukan Indonesia-Malaysia itu juga berjaya mengharumkan nama universiti dan negara apabila Juara Dunia Young Persons World Lecture Competition (YPWLC) 2025 dengan tajuk Aluminium Nitride Thin Film Deposition Using Industry-Grade Sputtering System: A Uniformity Study pada akhir tahun lalu.

Hasil kemenangan itu, dia memperoleh sijil penghargaan dan hadiah wang tunai sebanyak £1,000 (RM5,400).

Natasya sewaktu dinobat sebagai juara dunia pada YPWLC 2025.

Untuk makluman, YPWLC dianjurkan oleh Institute of Materials, Minerals & Mining (IOM3) dari United Kingdom sejak tahun 2005.

Sejak itu, YPWLC telah dianjurkan di pelbagai negara, sebelum dilaksanakan secara dalam talian bermula tahun 2020.

Berpeluang menemu bual anak kelahiran Lampung, Indonesia itu menerusi panggilan telefon baru-baru ini, dia yang mesra disapa Natasya bersyukur atas pengiktirafan diterimanya pada YPWLC 2025.

“Pertandingan ini menguji keupayaan peserta menyampaikan topik suatu penyelidikan berasaskan sains bahan dalam bentuk syarahan ringkas selama 15 minit kepada khalayak bukan pakar.

“Selain pembentangan, peserta juga perlu melalui sesi soal jawab bersama panel juri bagi menguji tahap kefahaman dan penguasaan mengenai topik yang dibentangkan,” tuturnya.

MENURUT anak sulung daripada dua beradik itu, kajian yang dibentangkannya pada YPWLC merupakan hasil penyelidikan antara UTHM, Universiti Malaya (UM) dan MIMOS Berhad. Kajian itu mendapat sokongan pembiayaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Malaysia.

Berkongsi lanjut mengenai YPWLC, gadis yang suka bermain gitar, K-pop dan menonton drama Korea itu memberitahu, kajian tersebut telah melalui beberapa peringkat saringan yang ketat, bermula di universiti, kebangsaan, sebelum ke tahap antarabangsa.

Ujarnya, saringan peringkat universiti di UTHM berlangsung pada 6 Ogos tahun lalu, di mana juara peringkat tersebut berpeluang bersaing di peringkat kebangsaan.

Katanya, peringkat kebangsaan pula melibatkan 13 peserta yang mewakili universiti di seluruh Malaysia.

“Pertandingan ini dibahagikan kepada peringkat separuh akhir dan akhir. Hanya lima peserta terbaik mara ke peringkat akhir.

“Hanya pemenang peringkat kebangsaan berpeluang mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang berlangsung pada 27 November tahun lalu, melibatkan wakil dari Malaysia, United Kingdom, China dan Hong Kong,” katanya.

Terang Natasya, ketika YPWLC 2025, pertandingan dimulakan dengan sesi pembukaan dan pengenalan peserta serta penganjur.

“Ia diikuti sesi pembentangan utama, di mana setiap peserta menyampaikan syarahan selama 15 minit di depan khalayak antarabangsa.

“Setiap pembentangan akan disusuli sesi soal jawab bersama panel juri bagi menilai kejelasan penyampaian dan penguasaan topik.

“Keseluruhan pertandingan dijalankan secara dalam talian, sekali gus membolehkan penglibatan juri dan audiens dari pelbagai negara. Ini menjadikan penilaian lebih bersifat global, sebelum pengumuman pemenang dibuat,” katanya.

Dari segi kriteria peserta, pertandingan itu terbuka kepada golongan muda dengan had umur maksimum adalah 28 tahun.

NATASYA bergambar bersama salah sebuah mesin eksperimen dalam penyelidikannya di peringkat PhD.

Berkongsi lanjut, Natasya yang juga pernah dinobatkan Best Oral Presenter dalam International Conference on Advanced Functional Materials and Devices 2024 di India mengakui, dia tidak terlepas daripada cabaran sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Jelasnya, antara cabaran utama sepanjang pertandingan berlangsung adalah keupayaan untuk menyampaikan idea dan penyelidikan bersifat teknikal serta kompleks dalam bentuk mudah difahami oleh khalayak bukan pakar.

“Dari segi penyertaan, pertandingan ini melalui beberapa peringkat saringan bermula di peringkat universiti terdapat seramai enam peserta, kebangsaan (13 peserta) dan seterusnya antarabangsa (empat peserta).

“Walaupun jumlah peserta terhad, namun tahap persaingan sangat tinggi kerana setiap peserta merupakan juara saringan di negara masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai skop pengajian PhD yang diambilnya sejak tahun lalu, Natasya memberitahu, dia memberi fokus pada bidang sains bahan merangkumi pemahaman teori berkaitan sifat dan struktur bahan serta kerja-kerja praktikal.

Ujarnya, ia merangkumi penyediaan, pencirian dan analisis bahan untuk aplikasi elektronik seperti sensor serta transistor.

Sebagai pelajar, dia melihat kejuruteraan elektrik sebagai satu bidang yang luas kerana merangkumi pelbagai aspek seperti sistem tenaga, peranti elektronik, telekomunikasi, pemprosesan isyarat serta kajian bahan dalam komponen elektronik bagi meningkatkan prestasi teknologi.

“Kebanyakan teknologi yang digunakan dalam kehidupan harian pada hari ini seperti telefon pintar, peralatan perubatan dan automasi industri dibangunkan berasaskan prinsip kejuruteraan elektrik,” ujarnya.

Selain banyak menghabiskan masa di bilik kuliah dan melakukan penyelidikan, peminat anime itu juga aktif dalam aktiviti kelab pascasiswazah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, khususnya dalam Biro Akademik.

Jelasnya, dia memilih untuk terlibat dalam kelab tersebut kerana ia selari dengan minatnya dalam pembangunan akademik dan perkongsian ilmu.

“Selain itu, saya turut terlibat dalam aktiviti lawatan akademik dan perbincangan ke Hokkaido University, Jepun pada November tahun lalu.

“Aktiviti ini ditaja sepenuhnya oleh penyelia PhD saya, Prof. Dr. Nafarizal Nayan melalui kerjasama penyelidikan dengan Petronas Research Sdn. Bhd.

“Ia memberi pendedahan berharga terhadap jaringan penyelidikan antarabangsa serta kolaborasi industri-akademik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kepentingan bidangnya yang turut berkait Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Natasya menyifatkan bidang tersebut sangat penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana ia melengkapkan pendidikan akademik.

Baginya, TVET melahirkan tenaga kerja mahir yang cekap melaksanakan kerja-kerja teknikal untuk memenuhi keperluan industri.

Tambahnya, pendidikan akademik pula membentuk keupayaan berfikir secara analitikal, menyelesaikan masalah dan membangunkan idea baharu.

“Pembangunan negara yang mampan memerlukan kedua-dua peranan ini bergerak seiring. Tenaga mahir bertanggungjawab melaksanakan teknologi dengan berkesan, tenaga profesional pula boleh merancang, menganalisis dan menambah baik sistem sedia ada.

“Justeru, pengukuhan TVET amat penting bagi memastikan ekosistem pembangunan negara seimbang dan berdaya saing,” tuturnya.

Mengulas mengenai hala tuju dan perancangan jangka panjangnya usai tamat PhD kelak, Natasya berkata, dia ingin terlibat secara aktif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), sama ada dalam sektor industri atau institusi penyelidikan.

Pada masa sama, dia juga tidak menolak kemungkinan untuk terlibat dalam sektor akademik sebagai pensyarah dan penyelidik dalam bidang sains bahan dan nanoteknologi.

Sebagai bakal graduan PhD UTHM, besar harapannya untuk terus menyumbang melalui penyelidikan berkualiti serta relevan mengikut keperluan industri dan masyarakat.

“Saya juga berharap pihak akademik dan profesional dapat menjalinkan jambatan kerjasama, khususnya dalam memperkukuh hubungan penyelidikan dan teknologi demi manfaat bersama pada masa hadapan.

“Kepada pelajar dan bakal mahasiswa, saya berharap anda tidak takut untuk mencuba dan meneroka peluang yang ada.

“Kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebahagian daripada proses pembelajaran yang membentuk kematangan dan ketahanan diri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN