fbpx
MUHAMMAD ALFAZRIL (kiri) dan Mohd. Jamil ketika menambak tanah di sebuah pusara di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya semalam. -SYAKIR RADIN

Anak muda penggali kubur, tak glamor tapi mulia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketika keba­nyakan anak muda memilih untuk be­kerja di dalam pejabat atau mengejar populariti di media sosial, dua sahabat sanggup berpanas, bergelumang tanah dan memerah keringat sebagai penggali kubur.

Muhammad AlFazril Roslan, 25, dan Mohd. Jamil Zadi, 38, memilih pekerjaan tersebut yang jarang diminati, namun sentiasa diperlukan secara sepenuh masa.

Tanpa keluhan dan bekerja dengan penuh keikhlasan, anak muda dari Desa Mentari di sini itu, melihat tugas tersebut bukan sekadar punca rezeki, sebaliknya pelaburan untuk akhirat.

Mereka mula melakukan tugas menggali kubur sejak 2014 ketika berusia belasan tahun.

Pada peringkat awal, Muhammad AlFazril hanya hadir sebagai pemerhati di tanah perkuburan sebelum perlahan-lahan mempelajari selok-belok kerja tersebut.

“Bila kerap datang, rasa terpanggil untuk membantu. Lama-lama saya sedar kerja ini besar nilainya. Jadi saya teruskan sampai hari ini,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Bukit Tandang, PJS 5 di sini.

Menurutnya, pada peringkat awal keluarganya terkejut de­ngan pilihan kerjaya tersebut, namun sokongan hadir selepas melihat kesungguhan dan disiplin yang ditunjukkan.

“Sekarang mereka faham dan bangga. Mereka tahu niat saya,” ujarnya.

Mengakui cabaran emosi sebagai ujian terbesar, beliau berkata, pengalaman paling menyentuh perasaan adalah ketika terlibat menggali kubur bayi serta saat menguruskan pengebumian neneknya sendiri.

“Waktu itu perasaan memang sukar digambarkan. Sebab itu saya elakkan pandang ke arah waris semasa bekerja. Saya fokus pada amanah,” katanya.

Bagi menenangkan diri, beliau sentiasa berselawat, beristighfar dan mengingatkan diri tentang pahala membantu memudahkan urusan orang lain.

“Bila fikir soal saham akhirat, hati jadi lebih tenang,” katanya yang baru mendirikan rumah tangga pada 1 November tahun lalu.

Muhammad AlFazril turut menjelaskan, tugas penggali kubur tidak mengenal waktu. Mereka sentiasa bersedia walaupun dipanggil pada lewat malam atau awal pagi.

“Kami bekerja tanpa mengira masa, pukul 2 pagi atau 3 pagi pun apabila diperlukan kami tetap terima. Kerja ini memang begitu,” katanya.

Tambahnya, kerja menggali di Bukit Tandang dilakukan sepenuhnya menggunakan cangkul tanpa bantuan jentera ‘backhoe’ kerana tradisi amalan tanah perkuburan itu sejak dibuka pada 1930.

Sementara itu, sahabatnya, Mohd. Jamil Zadi, 38, mengakui kerja menggali kubur bukan tugas mudah kerana ada kalanya mengambil masa sehingga enam atau tujuh jam untuk me­nyiapkan satu liang lahad.

“Orang nampak macam se­nang, tetapi sebenarnya berat. Kadang-kadang badan jadi lemah, emosi terganggu. Kerja ini kena jaga adab,” katanya.

Katanya, pengurusan jenazah perlu dilakukan dengan penuh kelembutan dan tertib.

“Jenazah kena diurus selembut-lembutnya. Kalau silap, bukan sekadar fizikal, emosi pun terkesan,” ujarnya.

Mengulas peranan anak muda, Mohd. Jamil berharap le­bih ramai tampil membantu kerja fardu kifayah agar keperluan masyarakat dapat dipenuhi.

“Kalau tak cuba, takkan faham. Kerja ini mendidik jiwa dan mengingatkan kita tentang hakikat hidup,” katanya.

Pasukan Tanah Perkuburan Islam (TPI) Bukit Tandang terdiri daripada Mohd Saiful Mat Jan, 41, selaku penyelia, bersama Haimidun Musiran, 69, Mohd Ismail Marjunid, 53, dan Muhammad Irawan Suwarno, 32 yang berganding bahu melaksanakan urusan penggalian serta pengurusan jenazah tanpa mengira waktu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN