PETALING JAYA – Hajat seorang suami untuk membelikan perhiasan emas selain membawa isterinya menunaikan umrah tidak kesampaian apabila wanita itu meninggal dunia pada Selasa lalu akibat jantung bengkak.
Lebih menyedihkan Wan Fawwaz Aiman Wan Nazdi, 27, apabila pemergian isteri tercinta, Nur Hafizah Mohamad Nasir, 27, berlaku hanya tiga bulan selepas dia kehilangan anaknya, Wan Hayder Rizq, 18 bulan, yang berpunca daripada penyakit sama.
“Banyak kenangan bersama isteri dan dia selalu bersama saya ketika susah. Waktu motosikal rosak dan tiada duit untuk baiki, dia senyap-senyap jual gelang emas untuk beri duit,” katanya.
Wan Fawwaz Aiman mengakui, antara perkara paling dirindui ialah rutin setiap pagi sebelum bergerak ke tempat kerja dan ketika pulang apabila Allahyarham dan anaknya akan sentiasa menunggu.
“Setiap pagi mereka tidak akan terlepas untuk menunggu saya bergerak ke tempat kerja selain menyambut saya ketika pulang kerja.
“Saya juga ada hajat untuk belikan gelang emas atau cincin untuk dia, tetapi semua itu tidak kesampaian,” katanya yang sebelum ini turut merancang membawa isterinya itu ke Tanah Suci pada Julai depan.
Bercerita mengenai kejadian yang menimpa Allahyarham, Wan Fawwaz Aiman berkata, isterinya ada mengadu sakit dada melampau selepas pulang berjalan-jalan pada Isnin lalu.
“Saya cuti pada hati tersebut, jadi kami keluar berjalan-jalan di pasar raya dan sempat singgah makan malam. Tiba-tiba dia (isteri) cakap dadanya sakit.
“Saya ajak dan pujuk ke hospital untuk buat pemeriksaan tapi dia tidak mahu sebab trauma melahirkan anak dahulu sehingga terpaksa ditahan di wad.
“Kami pun balik ke rumah dalam pukul 10 malam. Sebelum ini pernah juga dia sakit dada, tapi dalam 30 minit akan baik semula” katanya.
Wan Fawwaz Aiman berkata, Allahyarham tertidur selepas diurut sebelum terjaga semula pukul 4 pagi kerana tidak dapat menahan sakit.
Malah katanya, keadaan Nur Hafizah terlalu lemah sehingga terpaksa melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR).
“Pukul 4 pagi, dia kejut saya sebab tak tahan sangat dan nak pergi hospital. Saya pun bangun untuk cuci muka di tandas, tapi terdengar bunyi seperti benda jatuh di bilik tidur.
“Bila saya tengok dia dah terbaring di lantai. Saya panggil mak untuk ajar dia istighfar. Badan dia pun makin lemah dan pucat. Jiran pun datang rumah dan bantu membuat CPR sehingga ambulans sampai,” katanya.
Katanya, jenazah isterinya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai Kamloon, Kepala Batas.














