Setiap individu mempunyai prinsip kehidupan sendiri. Begitu juga dengan pilihan Pesona Ahad minggu ini, Mirna Zulaikha Mohamad Sabri, 26, yang komited menjaga keterampilan diri.
Mesra disapa Mirna, gadis manis berasal dari Baling, Kedah ini membuktikan wanita bertudung juga boleh tampil berkeyakinan tinggi tanpa imej seksi.
KOSMO! AHAD: Kongsi mengenai diri anda?
Mirna: Anak ketiga daripada empat beradik. Dua abang dan adik perempuan menjadikan saya seorang yang tegas dan berdikari. Ramai menganggap saya garang disebabkan loghat utara saya, walaupun saya sebenarnya orang yang peramah.
Mirna sebelum jadi pencipta kandungan?
Saya belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling, Kedah, selama empat tahun sebelum berpindah ke sekolah harian untuk menjaga ibu.
Selepas itu, saya menyambung pengajian ke peringkat diploma di sebuah universiti swasta, namun tidak berpeluang untuk menamatkan. Sekarang, saya menunggu kepulangan adik dari luar negara sebelum menyambung pengajian jika berkesempatan.
Kongsi pengalaman tidak dilupakan?
Momen paling pahit apabila kehilangan ayah ketika di tingkatan tiga. Pada hari terakhir kertas Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), saya pengsan kerana kurang makan. Hampir sebulan memang lemah sebab kesedihan melampau.
Mirna dan gim?
Minat terhadap kecergasan dan penjagaan kesihatan bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekadar mengisi masa lapang dan bersenam di rumah. Selepas itu, saya mula menjaga penampilan dengan pemakanan.
Awalnya, tiada pengetahuan untuk menjaga pemakanan dan bersenam sehingga tak makan nasi sampai pengsan disebabkan kandungan gula yang terlalu rendah. Kemudian, baru saya belajar bahawa setiap orang mempunyai diet yang berbeza.
Kerjaya pencipta kandungan gaya hidup sihat?
Pada awalnya, saya bekerja sebagai host siaran langsung produk kesihatan dan jurulatih peribadi wanita. Sebelum ini, banyak stereotaip daripada pengasas dan pembeli terutama tentang gaya seksi untuk promosi produk kesihatan, gaya hidup sihat atau rutin ke gim.
Keterampilan sederhana saya dengan berpakaian ‘baggy’ dan bertudung itu sedikit sebanyak menarik perhatian terutama dalam kalangan wanita. Bukan semua yang menjaga badan kerana mahu menunjukkan badan cantik tetapi demi kesihatan. Saya teringin nak buat ‘content’ seperti bercuti.
Lelaki idaman Mirna?
Lebih dominan kerana saya seorang yang terlalu berdikari, saya perlukan seseorang yang mampu melembutkan ego. Bukan untuk mengawal tetapi untuk menjaga diri ini. Saya selalu menjaga ibu, kini mahu orang lain jaga saya pula.














