fbpx
Gambar Janaan AI

90 peratus ‘lane hogger’ adalah pemandu lelaki?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAHKAH ketika memandu di jalan raya, anda terperangkap di lorong kanan atau tengah sedangkan laluan kiri kelihatan agak lancar?

Kenderaan anda bergerak perlahan, brek juga agak kerap ditekan sementara barisan kenderaan pula didapati semakin panjang di belakang.

Namun sebaik sahaja berjaya melepasi kesesakan di lorong memotong itu, anda mendapati laluan di hadapannya ‘kosong’, tidak sesak.

Kesesakan dialami itu rupa-rupanya berpunca daripada lane hogger (pemonopoli lorong) yang degil, tidak mahu mengubah haluan ke lorong kiri.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya Serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri, berkata, lane hogging merujuk kepada pemandu yang memandu perlahan di lorong tengah atau lorong kanan tanpa bergerak pada kelajuan munasabah.

Malah beliau berkata, 90 peratus lane hogger terdiri daripada pemandu lelaki berdasarkan pemerhatian oleh PPKJR.

“Kajian oleh kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) juga menunjukkan, pemandu lelaki lebih cenderung mengamalkan lane hogging berbanding wanita.

“Sikap kebanyakan pemandu lelaki, adalah tidak prihatin terhadap pemandu lain dan tidak peduli dengan kesan dan kesukaran pemandu lain di belakang mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Bagaimanapun, Jamil berkata, pemandu wanita juga tidak terkecuali.

“Namun, perlu diingat bahawa lane hogging bukanlah isu yang eksklusif kepada pemandu lelaki sahaja.

“Pemandu wanita juga turut mengamalkan lane hogging jika mereka tidak mematuhi peraturan jalan raya dan tidak prihatin terhadap pemandu lain,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, lane hogging sangat berbahaya kerana ia boleh mengganggu keselamatan jalan raya dan aliran trafik.

Tindakan itu menurut beliau, boleh menyebabkan kesesakan trafik selain kekecewaan dan kemarahan pengguna lain yang lain.

Lane hogging boleh membawa kepada tingkah laku agresif di jalan raya sehingga menyebabkan pergaduhan akibat daripada sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab ini.

“Ia boleh menyebabkan pemandu lain terpaksa menukar arah laluan secara berbahaya untuk mengelakkan kende­raan yang mengamalkan lane hogging dan memandu secara perlahan,” jelasnya.

Susulan itu menurutnya, PPKJR mencadangkan penguatkuasaan undang-undang lebih ketat terhadap pemandu yang mengamalkan lane hogging ini.

“Laksanakan penguatkuasaan undang-undang terhadap pemandu lane hogging dengan penuh ketegasan dengan me­ngenakan kompaun yang berat supaya tabiat buruk ini dapat dihakis.

“Sebaik-baiknya, Silibus Pendidikan Memandu juga menekankan amalan berdisiplin ketika berada di lorong pemanduan bagi memastikan pemandu sentiasa peka dengan keadaan trafik dan keselamatan diri dan pengguna lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN