fbpx
Nasrin (berdiri tujuh dari kiri) bersama suami dan ahli keluarganya ketika bercuti di Pasar Terapung Lembang, Bandung Indonesia baru-baru ini.

Sepinggan nasi goreng RM3 boleh tambah lauk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ramai rakyat Malaysia menjadikan Indonesia sebagai syurga percutian dan membeli-belah berikutan pengukuhan nilai ringgit berbanding rupiah pada masa ini.

Mereka mengakui percutian ke negara jiran itu yang terkenal dengan pelbagai lokasi dan aktiviti menarik ketika ini sangat menjimatkan berbanding tahun sebelumnya.

Seorang pelancong, Nasrin Rosli, 34, berkata, dia membawa 13 ahli keluarganya bercuti ke Ban­dung dan Jakarta selama empat hari baru-baru ini dan hanya membelanjakan sekitar RM7,200 sepanjang percutian.

Katanya, perbezaan kadar pertukaran mata wang membe­rikan impak yang sangat ketara kepada kuasa beli pelancong t khusus kepada rakyat Malaysia.

“Dahulu, kadar tukaran pernah mencecah sehingga sekitar RM350 untuk sejuta rupiah. Namun, sejak akhir tahun lalu sehingga sekarang, ringgit terus mengukuh, membolehkan kita mendapat sejuta rupiah pada harga sekitar RM240 sahaja,” katanya.

Nasrin mendedahkan, jumlah yang dibelanjakan dalam percutian kali ini sangat rendah berbanding RM13,000 yang dikeluarkan pada percutian sebelum ini.

Katanya, mereka turut mengambil kesempatan membeli-belah barangan seperti beg tangan dan kasut untuk persiapan raya.

“Baju lace untuk raya di Malaysia boleh cecah RM600 hingga RM700 semeter, tapi di Indonesia sepasang baju eksklusif boleh dapat sekitar RM300. Yang biasa pun boleh dapat sepasang bawah RM100.

“Beg tangan bawah RM50 pun ada. Kualitinya memang nombor satu,” katanya.

Mengulas perbandingan de­ngan negara ASEAN lain, Nasrin berkata, kos percutian di negara serantau lain kebiasaannya lebih tinggi berbanding Indonesia.

“Indonesia ketika ini boleh dikatakan ‘syurga’ untuk melancong dan beli-belah.

“Kemudahan pengangkutan awam seperti ojek senang didapati, keselamatan dijaga oleh supir,” katanya.

Sementara itu, Salmiah Bulat, 75, dari Kampung Tok Weng, Baling turut memanfaatkan peluang melancong ke Palembang bersama beberapa orang rakan­nya baru-baru ini.

“Seperti yang diketahui, kos melancong ke Indonesia agak murah berbanding di negara-negara lain. Sebelum ini, saya sudah ke Jakarta, Acheh, Bandung dan Bukit Tinggi.

“Kos melancong amat murah, pakej tidak sampai pun RM2,000 untuk semua perbelanjaan termasuk penginapan, tiket kapal terbang, makan dan minum, dan sebagainya.

“Saya tukar wang RM250 da­patlah lebih kurang satu juta ru­piah, itupun cukup-cukup di­be­lanjakan kerana saya tidak banyak membeli belah,” kata Salmiah.

Salmiah juga berkata, dia lebih sukakan Indonesia berbanding Thailand yang nilai mata wangnya lebih tinggi.

Sementara itu, Muhammad Syafi Fauzan Saifuddin, 22, turut berkongsi pengalamannya me­lancong ke Surabaya dengan penjimatan ketara berbanding sebelum ini.

“Perjalanan kali ini memang sangat jimat sebab 1 juta Rupiah hanya bersamaan kira-kira RM231 berbanding lawatan saya sebelum ini kira-kira RM300.

“Kos hotel, makan dan pengangkutan pun jauh lebih rendah,” katanya.

Beliau menambah, perbezaan paling ketara dirasai dari segi harga makanan serta produk tempatan.

“Contohnya, nasi goreng di Malaysia lebih kurang RM6 sepinggan, tetapi di sana hanya RM3, siap boleh tambah lauk. Memang berbaloi bila berbelanja.

“Minyak wangi tempatan, kalau di Malaysia lebih kurang RM100, tetapi di Indonesia hanya sekitar RM75. Aktiviti membeli-belah jadi lebih menyeronokkan,” kongsinya.

Assyahiddin Muhammad Reza Syahrial, 32, berkata, dia telah beberapa kali melancong ke Indonesia termasuk ke Surabaya, Malang, Batu, Solo, Jogja, Ban­dung dan Jakarta.

“Bayangkan kalau makan di warung dengan nasi, lauk-lauk dan air, kita cuma perlu belanja sekitar RM15 untuk dua orang dan sudah pasti kenyang. Kalau di Malaysia harga tu hanya untuk seorang makan.

“Sewaktu ke sana pun, saya pada mulanya tidak terfikir untuk membeli-belah kalau kita tukar harga rupiah ke ringgit, tetapi sebaliknya berlaku. Banyak benda automatik kita akan beli sebab murah,” katanya.

Tambahnya, kos pengangkutan baginya adalah paling menjimatkan terutama kereta api antara bandar.

“Dari Jogjakarta, kereta api ambil enam ke tujuh jam harga ekonomi dalam RM60. Walaupun mereka sudah naik taraf tetapi masih murah dan selesa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN