“SAYA meletakkan keyakinan bahawa masa depan negara ditentukan oleh kualiti insan yang dibentuk hari ini.
“Secara peribadi, belia bukan sekadar kelompok umur, tetapi aset strategik negara yang memerlukan pelaburan berterusan dari segi ilmu, nilai, kemahiran dan kepimpinan. Saya memilih untuk mengikuti pengajian belia dan sumber pembangunan manusia di universiti dahulu kerana bidang ini berada di persimpangan antara pendidikan, ekonomi, sosial dan dasar awam.”
Itu apa yang dapat dirumuskan Pensyarah Pembangunan Belia merangkap Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid Arshad, 39, mengenai titik tolak kerjaya dan penglibatannya kini.
Boleh dianggap sebagai pakar atau ‘arkitek’ pembangunan belia di negara ini, Dr. Mursyid menjadi kebanggaan UPM apabila diberikan Anugerah Young Innovators Creating a Better World for All sempena Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 atas sumbangannya dalam ‘membentuk’ golongan belia.
Kepakarannya juga ‘ditagih’ dan diperlukan dalam merangka pelbagai kajian berimpak tinggi yang membentuk hala tuju pembangunan belia dan pendidikan negara.
Antara penglibatan anak kelahiran Perak yang dibesarkan di Kedah ini termasuklah penyelidikan berkaitan Dasar Belia Malaysia 2015; Pelan Tindakan Pembangunan Belia
Madani 2035; Kajian Undi 18 Nasional; Pembangunan Belia Positif 8C dan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang menjadi rujukan penting dalam penggubalan dasar dan perancangan strategik di peringkat nasional.
Komitmen dan kesungguhannya dalam pembangunan belia di negara ini turut diakui apabila dilantik sebagai Ketua Panel Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) yang turut memfokuskan belia di beberapa negeri sejak tahun 2017 hingga ke saat ini.
Dr. Mursyid juga telah dikurniai Pingat Jasa Belia (P.J.B) Wilayah Persekutuan 2024.
Tidak sekadar itu, graduan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian; Sarjana Sains Pendidikan Pengembangan (Pembangunan Belia) dan Ijazah
Doktor Falsafah (PhD) dalam Pendidikan Pengembangan (Pembangunan Belia) UPM ini turut menjadi pakar rujuk kepada Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) serta Kementerian Belia dan Sukan dalam pelbagai kajian utama di peringkat nasional.
DI peringkat negeri-negeri, Dr. Mursyid memainkan peranan signifikan sehingga diangkat sebagai ketua kajian dalam pembentukan beberapa polisi utama antaranya Dasar
Belia Selangor 2020; Dasar Modal Insan Selangor; Pelan Pembangunan Belia Selangor; Dasar Anak Muda Pahang dan Pelan Strategik Pemerkasaan Pendidikan Perak Sejahtera 2030.
Berpeluang menemu bual insan yang layak disifatkan sebagai ‘arkitek’ pembangunan belia negara ini, Dr. Mursyid mengakui latar kehidupan dalam keluarga sederhana telah membentuk nilai disiplin, tanggungjawab dan kepekaan sosial yang kuat dalam dirinya sejak usia muda.
“Pendidikan awal saya bermula di Sekolah Kebangsaan Tunku Ismail, Sungai Petani, Kedah sebelum melanjutkan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim.
“Minat terhadap pembelajaran dan pembangunan insan terus berkembang apabila saya menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.
“Di situlah kecenderungan saya dalam bidang pembangunan sumber manusia dan pendidikan bermula sebelum menyambung pengajian ke UPM dan berkhidmat hingga ke hari ini,” katanya.

Jelas Dr. Mursyid, kepakarannya merangkumi pendidikan berterusan, pembangunan belia, kepimpinan belia dan pembangunan sumber manusia dengan penekanan kepada pendekatan antara disiplin yang menghubungkan penyelidikan, dasar dan intervensi komuniti.
Kepakaran itu secara tidak langsung membolehkannya menyumbang secara signifikan dalam pembangunan polisi dan strategi belia di peringkat negeri dan nasional.
Berkongsi lanjut peranannya sebagai Ketua Panel Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) yang mungkin ramai tidak tahu, Dr. Mursyid bertanggungjawab memastikan proses penilaian dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berteraskan impak sebenar sumbangan belia kepada masyarakat.
“Skop tugas saya merangkumi pemurnian kriteria penilaian, penyelarasan panel, penilaian lapangan serta memastikan anugerah tersebut benar-benar mengiktiraf belia yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian, tetapi juga beretika, lestari dan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
“Peranan ini turut menuntut kebijaksanaan dalam menilai kepelbagaian latar belakang, konteks setempat dan bentuk sumbangan belia di setiap negeri.
“Penglibatan berterusan ini mencerminkan komitmen saya dalam memperkukuh ekosistem pengiktirafan belia negara, sekali gus memastikan APBN kekal relevan sebagai penanda aras kecemerlangan dan kepimpinan belia di Malaysia,” katanya.
Mengenai Anugerah Young Innovators Creating a Better World for All sempena Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 yang baru diterimanya, Dr. Mursyid memberitahu, pengiktirafan tersebut menilai usaha yang konsisten dalam menterjemahkan ilmu akademik kepada dasar awam dan program pembangunan yang memberi impak nyata kepada masyarakat.
Ia sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan dalam memperkukuh pembangunan insan, khususnya belia melalui pendekatan berasaskan penyelidikan, dasar dan intervensi komuniti.
“Anugerah ini turut mengiktiraf komitmen dalam membangunkan kepimpinan belia yang beretika, inklusif dan berdaya tahan serta keupayaan menghubungkan pelbagai pemegang taruh merangkumi institusi pendidikan, agensi kerajaan, komuniti dan organisasi masyarakat sivil.
“Pendekatan inovasi sosial yang menekankan kelestarian, kebolehskalaan dan kesejajaran dengan keperluan sebenar belia menjadi antara faktor utama pemilihan penerima.
“Lebih daripada pengiktirafan peribadi, anugerah ini dilihat sebagai penghormatan terhadap usaha kolektif dan kepercayaan bahawa pembangunan belia dan pemerkasaan insan merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang adil, progresif dan berdaya saing di peringkat serantau dan global,” tuturnya.
Di sebalik pencapaian dan pengiktirafan, perjalanan kerjayanya dalam bidang akademik dan pembangunan belia, dia juga tidak terlepas daripada cabaran yang besar.
Berkongi antara liku dan cabaran termasuklah dari segi tuntutan masa yang tinggi untuk mengimbangi peranan sebagai ahli akademik, penyelidik, perunding dasar dan pemimpin institusi yang acapkali memerlukan komitmen di luar waktu kerja formal.
“Cabaran kedua melibatkan tekanan emosi dan mental apabila berhadapan secara langsung dengan realiti sosial belia, termasuk isu ketidaksamaan peluang, kerentanan sosioekonomi dan jurang pembangunan antara kelompok.
“Berdepan dengan data dan situasi sebenar di lapangan menuntut ketahanan emosi serta keupayaan membuat keputusan yang berimbang antara idealisme dan realiti dasar.
“Seterusnya keperluan untuk sentiasa kekal relevan dalam landskap yang berubah pantas, khususnya dari segi teknologi, perubahan nilai generasi dan keutamaan dasar awam.
“Ia menuntut pembelajaran berterusan, keterbukaan terhadap pendekatan baharu dan kesediaan menyesuaikan diri tanpa mengorbankan prinsip dan nilai teras pembangunan insan,” katanya.
Baginya, erti sebenar pembangunan belia terletak kepada keupayaan sistem dan masyarakat untuk mempercayai belia sebagai rakan strategik, bukan sekadar penerima manfaat.
Atas prinsip itu, Dr. Mursyid secara konsisten memperjuangkan pendekatan keserakanan belia–dewasa atau Youth–Adult Partnership (Y-AP) yang meletakkan belia dan orang dewasa dalam hubungan setara bagi merancang, melaksana dan menilai inisiatif pembangunan.
Pada masa sama, dia menekankan kepentingan program berpusatkan belia, iaitu pendekatan yang bermula daripada suara, keperluan dan potensi belia sendiri, bukannya ditentukan sepenuhnya secara atas-bawah.
“Dalam kerangka ini, pementoran belia menjadi elemen penting untuk membimbing, membuka peluang dan memindahkan nilai serta pengalaman, tanpa menafikan autonomi dan keupayaan membuat keputusan dalam kalangan belia.
“Selari dengan prinsip Pembangunan Belia Positif (Positive Youth Development, PYD), pembangunan belia dilihat sebagai proses memperkukuh kekuatan, kompetensi dan karakter belia, bukan sekadar menangani kelemahan atau risiko.
“Bagi saya, kejayaan pembangunan belia hanya dapat dicapai apabila belia diberi ruang untuk belajar, memimpin dan bertanggungjawab, sambil disokong oleh ekosistem dewasa yang berperanan sebagai pemudah cara, bukan pengawal semata-mata,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsian, Dr. Mursyid menegaskan bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang hadir secara segera atau mudah.
“Ia menuntut kesungguhan membina ilmu, disiplin diri dan integriti, di samping kesediaan untuk belajar daripada kegagalan dan pengalaman hidup.
“Kepada belia di luar sana, jangan terperangkap dengan pencarian populariti atau pengiktirafan jangka pendek, sebaliknya beri tumpuan kepada pembinaan kompetensi, nilai dan keupayaan menyumbang kepada masyarakat.
“Belia perlu berani mengambil tanggungjawab, berfikir secara kritikal dan terlibat secara bermakna dalam isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka sendiri dan komuniti sekeliling,” katanya.














