fbpx
naskhah tempatan masih belum menemui titik identiti sendiri dalam penghasilan filem berbanding negara luar seperti Korea Selatan dan Indonesia.

Lupakan saja Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAN hari, pasti ada sahaja komen netizen mengapa Malaysia masih belum memiliki filem sehebat luar negara.

Situasi tersebut biasa kerana bukan pertama kali sebaliknya seperti sudah lali kerana lumrah manusia inginkan sesuatu yang lebih bagus, cantik dan hebat.

Namun, adakalanya pandangan mereka dianggap sebagai memperlekehkan karya dan hasil kerja anak tempatan. Apa boleh buat kerana semua orang memiliki hak menyuarakan hasrat sendiri.

Paling ketara komen negatif selepas filem Duyung: Legenda Aurora ditayangkan pada Disember lalu.

Berbakul-bakul kecaman dan kritikan diberikan disebabkan kualiti filem tidak setara dengan jangkaan penonton.

Penulis mengakui, kualiti yang dipaparkan menerusi filem tersebut mengecewakan, terutama ketika kita semua dilambakkan dengan karya hebat negara jiran.

Sampai bila penonton harus dihidangkan dengan karya yang kualitinya sebegitu?

Jika pengarah tempatan sendiri hasilkan karya tangkap muat sehingga tiada apa yang boleh dibanggakan, impian ke Anugerah Akademi (Oscar) mungkin perlu dilupakan sahaja.

Bagi segelintir pihak, niat mereka mengkritik karya tempatan bukan kerana terlalu menjulang filem luar sebaliknya ingin menekan penggiat seni tanah air agar naskhah yang dihasilkan setanding dan sehebat karya luar.

Tidak perlu bandingkan dengan karya dari Korea atau Hollywood, cukup sahaja di Indonesia dan Thailand. Malaysia adakalanya seperti tercampak jauh.

Tapi, di sebalik lambakan filem yang hanya menjual nilai hiburan semata, masih banyak karya tempatan yang masih boleh dibanggakan.

Bukan semua naskhah tempatan hasilnya hancur lebur tetapi masih wujud yang mampu membuatkan bulu roma meremang, air mata berjurai tatkala menonton di pawagam.

Pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34, Qi Razali berkata, pengkarya filem perlu lebih jelas dengan tujuan dan mesej yang mahu disampaikan.

“Penghasil filem pasti mahukan pulangan, jadi bisnes dan seni juga harus seiring.

“Filem kita bagus tetapi pengarah perlu keluar dari kepompong dan zon selesa. Kenapa filem aksi selalu kurang rasa emosi lain seperti sedih atau dilamun cinta tetapi asyik buat penonton rasa cemas dan gerun semata-mata.

“Penonton bukan nak kualiti semata-mata tetapi rasa berbeza bila menonton anak tempatan, kagum dan bangga.

“Namun, kita perlu tahu, penghasil filem pun ada cabaran berbeza,” ujarnya.

Katanya naskhah tempatan masih belum menemui titik identiti sendiri dalam penghasilan filem berbanding negara luar seperti Korea Selatan dan Indonesia.

“Kalau nak banding dengan negara luar seperti Indonesia, mereka sudah jumpa identiti sendiri, filem seram ‘makanan’ mereka dan dihasilkan dengan diselitkan budaya mereka.

“Kita pula masih mencari identiti itu. Kita boleh saja buat karya moden tetapi bawa cerita rakyat Malaysia, ada elemen berbilang bangsa, agama dan kaum. Mungkin kena guna benda dengan bijak.

“Jangan terlalu ikut dengan apa yang orang luar minta semata-mata mahu diterima. Kita pun kena buka sikit-sikit tanpa merosakkan nilai yang kita ada.

Qi bagaimanapun berkata, karya anak tempatan kini ke arah yang lebih baik dan kualiti setanding negara luar.

“Saya rasa filem kita tengah menuju ke arah yang sihat. Kita sudah ada peminat filem setiap genre dan realitinya penonton Malaysia sentiasa sokong dan beri peluang.

“Namun, mereka pun ada hak untuk suka atau tidak. Dikutuk dan kritik itu hal normal dan memang suka untuk puaskan hati semua orang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN