LIPIS – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Relong mengambil tindakan proaktif dengan mempergiat rondaan keselamatan secara berterusan susulan kejadian ketukan pintu misteri di situ sejak 5 Januari lalu.
Pengerusinya, Ishak Mohamed, 66, berkata, rondaan keselamatan dijalankan setiap malam dengan kerjasama pihak polis, elia kampung serta Kawasan Rukun Tetangga.
“Rondaan rasmi bermula dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 4 pagi, namun kawalan awal telah dibuat seawal pukul 9 malam.
“Setakat ini kita menerima maklumat sebanyak 12 buah rumah di Kampung Relong dikenal pasti terlibat, malah saya turut mendapat laporan kejadian sama berlaku di Kampung Ulu Teris, Kampung Bapong dan Kampung Berchang,” katanya.
Menurut Ishak, rondaan yang disertai lebih 20 sukarelawan pada setiap hari itu digerakkan secara berperingkat dan bergilir, melibatkan penduduk setempat dengan sokongan penuh golongan belia sebagai tonggak utama kawalan keselamatan kampung.
“Walaupun kes ini masih dianggap misteri dan tiada sebarang petunjuk fizikal ditemui, kami tidak memandang ringan soal keselamatan. Kerjasama penduduk amat memberangsangkan dan semangat kejiranan semakin kukuh.
“Penduduk diminta terus berwaspada, segera melaporkan sebarang kejadian dan tidak bertindak bersendirian. Rondaan ini akan diteruskan selagi keadaan memerlukan,” jelasnya.














