Sungai Yak Yah di Kemaman, Terengganu merupakan satu lokasi memancing yang popular untuk kaki pancing setempat mencari spesies ikan yang tinggal di muara seperti siakap putih, siakap merah, kerapu, bulan dan sebagainya.
Pada masa yang sama geng-geng mengilat gewang juga selalu turun ke sini memburu ikan toman yang duduk sekali dengan ikan-ikan muara tersebut.
Bagaimana ikan toman boleh hidup di kawasan air payau, sedangkan umum mengetahui habitat asalnya ialah di air tawar seperti di tasik, paya dan sungai berair tawar? Sebenarnya, ia mampu beradaptasi dengan paras saliniti sehingga bawah 4 part per thousand (ppt).
Saya yang menjadi pemandu pancing (boatman) di Empangan Kelau di Raub Pahang mengakui bahawa tenaga juang ikan toman yang hidup di sungai yang ada arus pasang dan surut ini lebih kuat berkali ganda berbanding saudaranya yang hidup di air tawar.
Pasang surut
Faktor pasang surut air memainkan peranan besar terhadap aktiviti ikan toman di sungai ini. Setiap pemancing perlu peka dengan perubahan paras air jika mahu meningkatkan peluang mendapat hasil.
Berdasarkan pemerhatian saya yang dilakukan sepanjang aktiviti memancing di sini, terdapat dua keadaan utama yang sering menjadi cabaran untuk mengilat ikan toman.
Pertama, ketika paras air terlalu tinggi atau pasang besar, ikan toman cenderung untuk bergerak jauh memasuki kawasan pokok nipah dan bakau.

Kawasan tersebut bukan sahaja memberi perlindungan semula jadi, malah turut menawarkan sumber makanan yang melimpah, menjadikan ikan toman kurang berminat untuk keluar ke kawasan terbuka.
Kedua, keadaan yang menyukarkan pemancing adalah apabila arus sungai menjadi terlalu perlahan atau air mati.
Dalam situasi ini, ikan toman lebih aktif merayau dan berkeliaran ke merata kawasan, akibatnya, pemancing sukar mencarinya.
Waktu yang dianggap paling sesuai untuk memburu toman di sungai ini ialah ketika arus bergerak sedikit laju dengan paras air yang rendah.
Dalam keadaan ini, ikan toman gemar bersembunyi di celah-celah pokok nipah dan akar bakau sambil menanti mangsa yang hanyut bersama arus.
Keadaan ini memberi kelebihan kepada pemancing kerana ia lebih mudah dipancing disebabkan ia tidak perlu membazir tenaga mengejar mangsanya.
Dari aspek cuaca pula, keadaan panas terik mahupun hujan renyai tidak banyak memberi kesan terhadap aktiviti mengilat toman di sini.
Namun, hujan lebat yang berterusan akan menyebabkan air sungai menjadi keruh sekali gus menjejaskan keaktifan ikan ini.
Memahami pergerakan pasang surut air adalah ilmu penting yang tidak boleh dipandang ringan jika berada di sungai ini.
Pemancing perlu peka terhadap perubahan arus supaya peluang untuk merasai sambaran toman menjadi lebih tinggi.
Teknik
Dari segi pemilihan gewang, tidak banyak perbezaan di sungai ini berbanding kawasan lain.
Apa yang lebih penting adalah teknik yang digunakan serta cara pemancing membaca keadaan air.
Bagi lemparan gewang secara rawak (blind cast), gewang soft plastic (SP) terbukti lebih efektif berbanding gewang-gewang jenis lain.

Ini kerana SP yang dipersembahkan secara kalis sangkut (weedless) dapat dilontar jauh ke dalam celah pokok nipah serta akar bakau dengan risiko tersangkut paling minimal.
Teknik skipping juga memberi kelebihan besar kepada pemancing kerana gewang yang meluncur masuk ke celah-celah reba yang sempit dapat meningkatkan kadar sambaran toman yang bersembunyi di kawasan tersebut.
Jika memburu induk toman pula, pilihan terbaik ialah gewang selaman dalam dan spinnerbait.
Kedua-duanya berupaya mencapai perimeter yang lebih dalam di zon induk toman sering berkeliaran.
Namun, dunia mengilat penuh dengan kejutan, tidak mustahil induk toman yang garang kadangkala turut menyambar gewang permukaan apabila ia berada dalam keadaan agresif.
Apa yang paling penting, apabila mengilat ke arah kumpulan anak-anak toman, pemancing perlu memastikan lontaran dibuat rapat ke arahnya.

Posisi gewang yang tepat akan lebih mudah menggoda naluri si induk untuk melindungi anaknya, sekali gus membuka peluang pemancing untuk merasai sambaran padu yang diidamkan.
Tarikan pelancong
Kawasan ini juga sesuai untuk bawa keluarga melancong kerana ada Kawasan Perlindungan Kelip-Kelip Sungai Yak Yah yang terkenal sebagai habitat kelip-kelip terbesar di Malaysia.
Pelancong perlu menaiki bot dari jeti Sungai Yak Yah dan menjelang malam, ribuan kelip-kelip keluar dan mengerumuni pokok berembang, putat serta bebaru yang tumbuh subur di sepanjang sungai.
Pemandangan magis ini memberi ilusi seolah-olah pepohon dihiasi lampu di kegelapan malam.
Selain itu, hanya 10 minit dari jeti Sungai Yak Yah, pelancong juga boleh singgah ke Zoo Kemaman yang menempatkan pelbagai spesies haiwan.
Berhampiran zoo juga terdapat sebuah taman herba yang memberi peluang menambah ilmu tentang khazanah tumbuh-tumbuhan tempatan.
Sebagai seorang tekong yang datang dari kawasan lain, perbezaan geografi, tingkah laku ikan serta teknik memancing sememangnya menjadi satu cabaran yang menguji keupayaan dan pengetahuan saya ketika menduga toman di perairan baharu ini.
Namun dengan usaha yang konsisten, proses penyesuaian diri tidak mengambil masa yang terlalu lama.
Setiap pengalaman yang dilalui akhirnya membentuk kemahiran untuk beradaptasi dengan ‘game’ ikan toman yang unik di Sungai Yak Yah ini.
Proses pembelajaran saya menjadi lebih efisien dengan bantuan tekong tempatan Mohd. Alal Abu Bakar Nasir (gambar muka depan).
Tekong ini juga dikenali sebagai Alal Nano di laman Facebook dansudah lebih lapan tahun menguasai selok-belok sungai ini.
Jangan lepaskan peluang menduga kehebatan toman air payau di Sungai Yak Yah.
Sentiasalah utamakan keselamatan dan amalkan ‘catch and release’ demi kesinambungan sukan memancing untuk generasi akan datang.














