MWEC25 yang berlangsung di Puchong, Selangor baru-baru ini mempertandingkan empat kategori permainan utama iaitu Valorant, MLBB, FC26 dan Gran Turismo 7.

RMWEC25 angkat martabat e-sport wanita negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RAKAN Muda Women’s Esports Championship 2025 (RMWEC25) secara rasmi melabuhkan tirainya Ahad lalu di ESI Hub, Spacerubix, Puchong, Selangor selepas berlangsung selama tiga hari dengan penuh aksi dan persaingan sengit.

Kejohanan ini menyaksikan juara sulung bagi setiap judul permainan dinobatkan, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam landskap sukan elektronik wanita di Malaysia.

Grand Final RMWEC25 mempertemukan pasukan dan pemain terbaik merentasi empat kategori permainan utama iaitu Valorant, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), FC26 dan Gran Turismo 7.

Kesemua kategori ini dipertandingkan dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM50,000, satu jumlah yang signifikan dalam usaha mengangkat nilai komersial serta profesionalisme atlet wanita dalam arena kompetitif sukan elektronik.

Penganjuran ini dilihat setanding dengan kejohanan terbuka lain yang sedia ada di peringkat kebangsaan.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah RMWEC25 telah disempurnakan oleh beberapa tetamu kehormat yang mewakili pelbagai organisasi berkaitan industri sukan dan e-sukan.

Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan sokongan padu terhadap pembangunan e-sukan wanita di negara ini.

Antara yang hadir ialah Naib Presiden Strategi dan Operasi Impact Integrate (ESI), Mastura Mohd Rashid; Naib Presiden Wanita, Malaysia Esports Federation (MESF), Dr. Zatul ‘Iffah Abu Hasan; Presiden Persatuan Wanita Esports Malaysia (PWEM), Cik Afrina Fatini Mohd. Azmi; serta Rakan Pengurusan Axle Sports, Joanne De Rozario.

Kejohanan itu menjadi platform kompetitif yang sistematik untuk penyertaan wanita dalam e-sukan Malaysia.

Menurut Mastura, selain menumpukan kepada aspek persaingan, RMWEC25 turut memberi penekanan khusus terhadap keselamatan dan keterangkuman (inclusivity) peserta.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi menangani isu gangguan serta persekitaran toksik dalam talian yang sering menjadi cabaran kepada pemain wanita.

“Melalui penerapan elemen Kod Sukan Selamat dan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), kejohanan ini menyediakan ruang kompetitif yang selamat, adil dan profesional.

“Pendekatan tersebut membolehkan para peserta menampilkan kebolehan sebenar mereka tanpa dibayangi stereotaip jantina, sekali gus menggalakkan penyertaan lebih meluas atlet wanita dalam sukan elektronik.

“Usaha ini selari dengan aspirasi untuk mewujudkan ekosistem e-sukan yang mampan dan seimbang di Malaysia,” katanya.

Sokongan tersebut turut diterjemahkan melalui perancangan masa depan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Esports Integrated (ESI) sedang meneliti cadangan untuk memperkenalkan kategori khusus wanita dalam Malaysia Esports League (MEL) pada tahun hadapan.

Langkah ini bertujuan memperkukuh serta memastikan kelangsungan platform kompetitif yang lebih sistematik bagi penyertaan wanita dalam sukan elektronik di Malaysia.

Majlis penutupan RMWEC25 turut diserikan dengan kehadiran sebahagian daripada skuad Mobile Legends: Bang Bang wanita Malaysia yang baru-baru ini mencipta kejayaan membanggakan dengan memenangi pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025.

Barisan kebangsaan yang dibarisi Qurratul Ain Nurfarisha Nizam, Afrina Balqis Ibdhi Har Ali, Hanis Wahidah Dashuki, Queenie Lim dan Sharifah Alia Husna Syed Fakrrurozi menewaskan kuasa besar tradisi, Filipina di Universiti Chulalongkorn, Bangkok.

Mereka mengejutkan pasukan pilihan itu 4-3 dalam perlawanan penentuan pingat emas untuk meraih kejayaan bersejarah buat Malaysia.

Ini merupakan kali pertama Malaysia memenangi emas dalam pertandingan MLBB wanita sejak acara itu diperkenalkan pada Sukan SEA Phnom Penh 2023.

Kehadiran mereka menjadi sumber inspirasi kepada para peserta, khususnya pemain muda untuk terus mengejar impian dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketua pasukan MLBB wanita Malaysia di Sukan SEA 2025, Sharifah Alia berharap kejayaan mereka mampu melonjakkan keyakinan lebih ramai pemain wanita untuk menyertai pelbagai pertandingan e-sukan yang dianjurkan.

“Untuk pemain-pemain wanita semua, jangan cepat putus asa dengan cabaran yang ada dalam dunia esukan. Saya dan rakan-rakan (pemain profesional) akan sentiasa menyokong anda dari belakang.

“Malaysia sangat memerlukan pelapis pemain wanita yang baharu untuk meneruskan lagi kejayaan yang telah kami kecapi ini. Jadi, sekiranya anda berbakat, sertailah kejohanan-kejohanan yang dianjurkan,” katanya.

Dari segi keputusan pertandingan, kategori Valorant (PC) menyaksikan pasukan YTJT dinobat sebagai juara, diikuti REDSEA Valkyries selaku naib juara, manakala pasukan F5 menduduki tempat ketiga.

Dalam kategori Mobile Legends: Bang Bang (Mobile), Team Rey muncul juara, mengatasi ORCA PANTHERA di tempat kedua dan WBB LADIES di tempat ketiga.

Bagi kategori FC26 (Konsol), gelaran juara menjadi milik YAYAKM, sementara Khaleeda Osman meraih naib juara dan TiraKora menamatkan saingan di tempat ketiga.

Dalam kategori Gran Turismo 7 (Sim Racing) pula, Dayana muncul sebagai juara, diikuti Jolie di tempat kedua dan Sophia Zara di tempat ketiga.

Secara keseluruhan, penganjuran RMWEC25 bukan sahaja berjaya melahirkan juara-juara baharu, malah memperkukuh peranan wanita dalam ekosistem sukan elektronik negara.

Kejohanan ini menjadi satu platform penting dalam usaha membina masa depan e-sukan wanita yang lebih inklusif, selamat dan berdaya saing di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN