Tiga hari lagi, penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) akan tersenyum senang hati apabila bantuan sehingga RM200 dikreditkan ke dalam akaun mereka.
Bantuan ini membabitkan lima juta pengguna, terdiri daripada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.
Selang seminggu, pada 16 Januari ini bantuan Sara bulanan kepada 3.1 juta individu bujang pula masuk akaun.
Untuk rekod, Sara bulanan melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM80 bilion untuk tahun ini berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion tahun lalu.
Bantuan kerajaan seterusnya bermula pada 20 Januari apabila 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa 1, untuk tahun 2026. Bantuan diterima antara RM100 dan RM500 mengikut kelayakan.
Seterusnya, dalam usaha membantu ibu bapa menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diteruskan kerajaan dengan penyaluran dibuat pada hari pertama sesi persekolahan 2026.
Bantuan tunai RM150 itu diberikan kepada setiap pelajar tahun satu hingga tingkatan enam. Jika sebuah keluarga ada enam anak bersekolah maka mereka akan menerima RM900.
Bantuan ini membabitkan 5.2 juta pelajar tahun satu hingga tingkatan lima manakala 100,000 pelajar tingkatan enam.
Lebih manis bulan ini apabila penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan menerima pelarasan gaji fasa dua pada 22 Januari ini, iaitu tarikh pembayaran gaji bulanan. Kenaikan dikira berdasarkan gaji akhir 31 Disember tahun lalu.
Pelarasan ini meneruskan kenaikan gaji SSPA yang diumumkan pada 2024, yang melibatkan lonjakan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.
Menginjak ke bulan Februari, rakyat Malaysia terus menerima ‘manis-manis’ apabila menikmati bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) secara one off sebanyak RM100. Bantuan ini memanfaatkan seramai 22 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas.
Pada awal Mac ini, penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak akan menikmati bantuan khas kewangan sebanyak RM500 manakala RM250 disalurkan kepada semua pesara termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Di sebalik segala bantuan dinikmati inilah masanya kita bermuhasbah diri, mengurus kewangan dengan lebih ‘waras’.
Berbelanja dengan berhemah lebih-lebih lagi apabila kita berdepan sesi persekolahan 2026 empat hari lagi selain ketibaan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.
Tiga ‘perayaan’ penting ini sekali gus menyebabkan perbelanjaan meningkat secara berturut-turut dan tempoh ini adalah fasa mencabar golongan B40. Segala bantuan yang dihulurkan perlu dibelanjakan dengan ‘waras’. Ingatlah kita ada 11 bulan lagi, gunakan membeli barangan keperluan.
Kepada yang naik gaji, jangan boros dalam perbelanjaan bagi mengelakkan ‘malapetaka’ dalam pengurusan kewangan. Lebihan jika boleh jadikan ia lonjakan untuk menambah pendapatan. Azam baharu, Selamat Tahun Baharu 2026!














