INDUSTRI aeroangkasa global menyaksikan satu pencapaian penting apabila pesawat tiltrotor seberat enam tan pertama di dunia berjaya melakukan penerbangan sulungnya.
Kejayaan itu menandakan kemajuan besar dalam teknologi pesawat hibrid berkeupayaan tinggi dalam era kini.
Pesawat inovatif buatan syarikat penerbangan terkemuka China, United Aircraft itu dikenali sebagai Lanying R6000 (R6000).
Pesawat itu menggabungkan fleksibiliti helikopter dengan kelajuan dan jarak pesawat konvensional serta mengekalkan kemampuan operasi tanpa pemandu.
Menurut Pengurus Projek R6000, Zhao Fengming, penerbangan sulung pesawat itu berlangsung pada 28 Disember lalu di Deyang City, Sichuan yang menandakan langkah penting dalam pembangunan teknologi tiltrotor.
“Pesawat tiltrotor adalah sistem udara yang unik kerana menggabungkan dua fungsi utama iaitu kemampuan berlepas dan mendarat secara menegak seperti helikopter serta terbang laju seperti pesawat bersayap tetap.
“Rotor pesawat boleh diubah posisi atau ‘tilt’ dari menegak ke mendatar untuk menyesuaikan operasi mengikut mod penerbangan. Ini membolehkan pesawat beroperasi tanpa landasan panjang, namun mencapai kelajuan yang jauh melebihi helikopter tradisional,” katanya kepada media tempatan di China.
Tambahnya, teknologi tiltrotor telah lama wujud dalam platform tentera, namun R6000 menandakan pencapaian pertama bagi unmanned aerial vehicle (UAV) seberat enam tan yang menampilkan gabungan kelajuan tinggi, muatan besar dan penerbangan autonomi.
Sejarah R6000 bermula pada awal tahun 2020-an apabila United Aircraft mula menyasarkan pembangunan pesawat tiltrotor berprestasi tinggi untuk UAV.
Projek tersebut muncul disebabkan keperluan global untuk sistem udara fleksibel yang boleh membawa muatan besar tanpa memerlukan landasan panjang, namun mampu mengekalkan kelajuan seperti pesawat bersayap tetap.
Sebelum R6000, teknologi tiltrotor biasanya terhad kepada pesawat tentera bersaiz sederhana seperti Bell Boeing V-22 Osprey yang berfungsi sebagai platform operasi dengan keupayaan berlepas secara vertikal (vertical takeoff) dan berkelajuan sederhana.
Kongsinya lagi, R6000 membawa konsep itu ke tahap baharu dengan peningkatan kapasiti muatan, autonomi penerbangan dan kelajuan maksimum yang tinggi, sekali gus menjadikan UAV tiltrotor seberat enam tan pertama di dunia.
Dari segi teknikal, R6000 menampilkan prestasi yang mengagumkan. Ia mempunyai berat operasi sekitar enam tan dan mampu mencapai kelajuan maksimum 550 kilometer sejam.
“Jarak operasi dianggarkan sehingga 4,000km, manakala kapasiti muatan boleh mencapai 2,000 kilogram dengan kemampuan membawa barangan atau peralatan berat.
“Ketinggian operasi pula sehingga 7,620 meter iaitu hampir menyamai pesawat bersayap tetap untuk penerbangan jarak jauh.

“Reka bentuk ini membolehkan R6000 berlepas secara menegak seperti helikopter, sebelum beralih kepada mod terbang laju,” ujarnya.
Katanya lagi, penerbangan sulung R6000 menunjukkan potensi besar untuk sektor logistik dan penghantaran.
Dengan kelajuan tinggi dan kemampuan membawa muatan berat, pesawat itu dapat menggantikan kapal terbang tradisional dalam penghantaran antara bandar atau merentasi negara.
Pesawat itu juga amat sesuai untuk operasi di kawasan geografi sukar seperti pergunungan atau pulau terpencil, iaitu lokasi landasan lapangan terbang tidak wujud.
Teknologi tiltrotor juga membolehkan akses cepat kepada lokasi terpencil sambil mengekalkan keselamatan operasi, terutamanya bagi penghantaran kritikal seperti peralatan perubatan atau bantuan bencana.
Selain itu, R6000 menandakan perkembangan pesat dalam teknologi UAV berprestasi tinggi.
“Sistem autonomi pesawat membolehkan operasi tanpa kebergantungan kepada juruterbang manusia di dalam kokpit, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kecekapan dalam misi berisiko tinggi.
“Ia juga menjadi bukti keupayaan industri aeroangkasa China untuk bersaing di peringkat global, khususnya dalam teknologi vertical lift yang sebelum ini banyak dikuasai oleh syarikat Eropah dan Amerika Syarikat,” jelas Fengming.
Bagaimanapun, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sebelum teknologi tersebut boleh digunakan secara meluas.
Dia memaklumkan, sistem kawalan autonomi perlu diuji dan ditambah baik, peraturan penerbangan antarabangsa harus dipatuhi serta ujian dalam operasi ekstrem perlu dilakukan.
Namun, kejayaan penerbangan sulung itu memberikan asas kukuh untuk generasi tiltrotor seterusnya, termasuk kemungkinan penggunaan dalam sektor komersial seperti pengangkutan penumpang dan e-VTOL.
R6000 bukan sahaja membawa inovasi dalam reka bentuk dan kelajuan, malah membuka pintu kepada era baharu penerbangan yang menggabungkan keupayaan vertical takeoff, muatan besar dan berkelajuan tinggi.
Pencapaian itu membuktikan bahawa kombinasi helikopter dan pesawat bersayap tetap kini boleh direalisasikan dalam platform UAV yang canggih.
“Penerbangan sulung R6000 menandakan satu titik perubahan dalam sejarah penerbangan moden.
“Dari asal-usul sebagai projek untuk mengatasi batasan helikopter dan pesawat bersayap tetap, R6000 kini telah membuktikan bahawa UAV tiltrotor berat boleh berfungsi dengan prestasi tinggi.
“Ia menggabungkan teknologi canggih, fleksibiliti operasi dan prestasi luar biasa, dengan menunjukkan potensi besar dalam sektor logistik, keselamatan serta komersial,” kongsinya.
Dengan kejayaan itu, era baharu pesawat tiltrotor berprestasi tinggi kini menjadi realiti.
Situasi ini memperlihatkan bagaimana inovasi dalam aeroangkasa boleh mengubah cara manusia mengangkut barang dan beroperasi di udara pada masa depan.














