Minggu lalu nama Malaysia mengharum di Maghribi. Bukan melalui sukan, ekonomi atau politik sebaliknya disebabkan satu tesis ilmiah mengenai ulama prolifik kelahiran negara itu, Sayyid Ahmad ibn Idris.
Tesis itu seakan menghidupkan dan memperkenalkan semula lelaki hebat bernama Ahmad Idris bukan sahaja kepada dunia Islam, malah buat penduduk Maghribi sendiri walaupun ulama itu telah meninggal dunia pada tahun 1837 di Sabya, Yemen. Ya, 188 tahun lamanya.
Kajian mendalam mengenai keilmuan, kehidupan dan kebijaksanaan ulama tersohor itu disampaikan oleh orang Rembau, Negeri Sembilan, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin dengan penuh hikmah dan amanah.
Nama Sayyid Ahmad bukan asing lagi di bumi Asia Tenggara. Kealiman beliau dalam ilmu Islam tidak dapat disangkal lagi terutamanya dalam ilmu tafsir al-Quran dan hadis.
Segala amalan dan zikir yang diasaskannya sampai kepada kita di Malaysia memalui murid-muridnya yang berkaliber, dipercayai serta mempunyai ilmu zahir dan batin yang mantap.
“Nasab saya adalah kitab dan sunah. Lihatlah kepada saya, jika kamu dapati saya berada di atas landasan kitab dan sunah, maka katakanlah, “Ahmad Ibn Idris berada di atas landasan kitab dan sunah.”
“Maka inilah nasab saya. Allah berfirman, “(Maksudnya) Pada hari ini, Aku merendahkan nasab-nasab kamu dan meninggikan nasabKu, iaitu taqwa.”
Ketegasan beliau inilah yang membuatkan anak kelahiran Mizoura, Maghribi itu dihormati. Mujahadahnya menabur khidmat terhadap dunia pendidikan, pemikiran, pentarbiahan serta spiritual terlalu istimewa sehingga dikurniakan ilmu laduni ketika menafsirkan al-Quran dan hadis Nabi SAW.
Ketika pembentangan tesis selama tiga jam di Universiti Mohammed V Rabat pada 27 Disember lalu, lima panel penilai seakan tidak percaya bahawa kajian itu hampir menyentuh keseluruhan hidup Sayyid Ahmad seolah-olah Muhammad Fuad hidup ketika zamannya.
Semestinya pengiktirafan sebegitu seharusnya memerlukan kajian, pengetahuan dan pengamatan yang jitu di samping pengalaman rohani yang mungkin dilalui oleh pengkajinya. Sesuatu hal atau penyampaian pasti tidak dapat dilakukan dengan sempurna apatah lagi individu yang diperkatakan itu merupakan tokoh terkemuka dan pelopor dalam bidang tasawuf.
Untuk rekod, pembentangan tesis penuh bermakna itu mendapat pangkat Musyarraf Jiddan (cemerlang kelas pertama) dengan barisan penilai mengesyorkan agar kajian dalam bahasa Arab itu diterjemahkan ke enam bahasa utama dunia iaitu Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis dan Jerman bagi meluaskan manfaatnya ke peringkat antarabangsa.
Sudah tentu biografi ulama diketahui melalui peninggalan kitab-kitab ilmu yang dicoretkan ketika hayat mereka.
Di sinilah pentingnya kita menukilkan sesuatu sebagai simpanan anak cucu dan orang kemudian.
Seharusnya kita berbangga dengan pencapaian ini. Sekali lagi nama Malaysia gah di persada dunia.














