Setiap kali tiba tahun baharu, pasti ada sahaja yang ‘menanam’ azam untuk menjadi insan yang lebih baik dan mencapai hajat lebih cemerlang berbanding sebelumnya.
Ada yang berazam untuk kurus, tidak kurang yang mahu menjadi lebih berharta selain ingin mendapat jodoh sekufu agar kehidupan menjadi aman damai tanpa sengketa.
Semuanya bertujuan untuk penambahbaikan diri daripada pelbagai aspek dalam menjadikannya peluang untuk menilai matlamat hidup, meningkatkan motivasi, membina tabiat positif.
Persoalannnya berapa ramai yang berjaya mencapai azam yang diingini. Ini kerana berazam itu amat mudah daripada merealisasikannya, kadang-kadang belum tiba suku tahun azam yang ditanam di awal tahun berkubur begitu sahaja tanpa ada pencangan untuk meneruskannya.
Dalam hal ini, kita mestilah memastikan azam yang ingin ditetapkan dapat dicapai dengan kadar kemampuan diri sendiri selain ia adalah realistik dan bersifat spesifik bagi membolehkan kita ada momentum untuk menggapainya.
Sebagai contoh jika ada keinginan untuk kurus atau mahu turun berat berat sebanyak 2 kilogram (kg) setiap bulan. Ini akan memudahkan kita membuat perancangan ke arah sasaran yang tepat.
Bagi membolehkan azam baharu dapat dicapai dengan jayanya, janganlah terlalu banyak menetapkan apa yang mesti capai, cukup satu atau dua azam agar kita dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ke arah itu.
Ini kerana apabila mempunyai terlalu banyak perkara yang ingin dikejar, kita gagal memberikan fokus untuk berjaya, akhirnya ia ‘terbengkalai’ sekerat jalan dan kita berasa bosan untuk meneruskan apa yang dihajati.
Lagi satu kita kena ada strategi untuk berjaya dan jangan membuat perancangan di saat-saat akhir kerana ia pasti menjadi haru-biru nanti, bak kata pepatah, gagal merancang adalah merancang untuk gagal.
Jika kita mempunyai matlamat atau visi azam yang besar adalah tidak salah, namun setiap yang dirancang perlu dibuat dengan langkah kecil terlebih dahulu, jangan meletakkan sasaran yang berada di luar kemampuan diri.
Sekiranya diteruskan juga walau tidak ada kemampuan, kita berkemungkinan akan hilang motivasi diri dan tidak mahu meneruskan apa yang dirancang pada mulanya.
Sebagai manusia yang mempunyai banyak kelemahan, kita tidak akan mencapai semua yang dihajati kerana sifat semula jadi pada diri yang lemah dan mudah terdedah kepada sesuatu yang buruk.
Unsur negatif dan baik yang berbolak-balik di dalam diri kita akan sentiasa cuba untuk menghalang setiap apa yang kita lakukan, jadi berusahalah ke arah lebih baik untuk memperbaiki diri agar menjadi insan berguna untuk agama, keluarga, masyarakat dan negara.
Sekurang-kurangnya tanamkan azam untuk mengisi dunia dengan menambah bekalan untuk kehidupan abadi di negari akhirat nanti.
Apa yang lebih penting renung-renungkanlah impian dan azam yang masih belum dicapai tahun lalu, selain memperbaiki diri untuk memahat azam baharu.















