KULAI – Kerajaan Negeri Johor menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026) dengan jangkaan impak ekonomi melebihi RM42 bilion, menerusi sambutan rasmi yang diadakan serentak di semua pintu masuk udara, darat dan laut negeri ini bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, sambutan peringkat negeri dimulakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) sempena Majlis Sambutan Ketibaan Pelancong TMJ 2026 dan Majlis Pelancaran Temasya Johor@Kulai, dengan ketibaan 200 pelancong dari Jakarta yang disambut mesra serta menerima cenderamata berupa makanan tradisi Johor.
Menurut beliau, sambutan TMJ 2026 turut dilaksanakan di pelbagai pintu masuk lain termasuk Terminal Feri Puteri Harbour, Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Waterfront, Desaru Coast, Muar, Tanjung Pengelih Kota Tinggi, selain di pintu masuk darat seperti Bangunan Sultan Iskandar (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (Second Link) serta laluan selatan di Pagoh R&R.
Setakat September 2025, Johor telah merekodkan 7.9 juta pelancong yang menginap sekurang-kurangnya satu malam di negeri ini.
Beliau berkata, Johor menawarkan pelbagai tarikan pelancongan alam semula jadi termasuk Taman Negara Tanjung Piai, Taman Negara Johor, Air Terjun Gunung Ledang, Endau Rompin, Taman Eko Rimba Gunung Pulai serta destinasi pantai di Mersing.
Selain itu, beberapa produk pelancongan baharu dijadualkan dibuka pada suku pertama dan kedua 2026 seperti Muzium Tokoh, Pusat Rekreasi Sungai Lebam, Eko Pelancongan Kampung Sungai Melayu, River Cruise Sungai Johor, Pusat Rekreasi Danga Bay serta Pusat Kebudayaan Daerah Kota Tinggi di Pengerang. – KOSMO! ONLINE














