fbpx
SITI NUR SYAKIRAH (tengah) bersama kakitangan Kedidi Global gembira apabila dapat memudahkan urusan pesakit diabetes yang kehilangan kaki.

‘Mereka senyum bila dapat kaki palsu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan mahu mencari keuntungan tetapi ke­gembiraan orang yang mendapat kaki palsu akibat diabetes secara percuma merupakan penguat semangat buat sebuah syarikat untuk terus menabur bakti kepada mereka yang memerlukan.

Itulah fokus Kedidi Global Sdn. Bhd. yang menyediakan kaki palsu percuma bernilai RM5,000 hingga RM10,000 mengikut jenis.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Siti Nur Syakirah Abdullah berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 2017 di Seri Kemba­ngan mereka menawarkan 10 kaki palsu percuma ketika awal penubuhannya.

Katanya, pada 2017 hingga 2019, 90 peratus mereka yang kehilangan kaki akibat diabetes mereka yang berusia antara 50 hingga 60 dan ke atas.

Namun sejak 2023, pemerhatian mereka mendapati golongan muda berusia 20-an hingga 30-an pun ramai menghidap penyakit itu yang menyebabkan kaki terpaksa dipotong.

“Ia bermula apabila salah seorang pesakit diabetes yang ka­kinya dipotong dikenali sebagai Pak Udin (Allahyarham) berta­nyakan mengenai sama ada kaki palsu itu benar-benar percuma sebab dia tak mampu.

“Cerita Pak Udin ini membuatkan kami terkesan kerana isteri dan anak-anak melarikan diri, selain dia tiada pendapatan. Untuk orang yang hilang kaki, dia bukan setakat duduk di kerusi roda semata-mata, tetapi dia hilang kebebasan, pendapatan dan beri kesan kepada mental,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.

Siti Nur Syakirah berkata, kisah Pak Udin itu juga menjadi inspirasi kepada syarikat ber­kenaan untuk terus membantu golongan kurang berkemampuan bagi mendapatkan kaki palsu demi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Jika dahulu, kaki percuma yang diberikan ini ditanggung oleh ibu bapa saya menggunakan wang pencen selepas bersara sebagai guru.

“Ada juga pesakit ini bayar sekadar mampu, RM200 atau RM300 dan yang lain ditanggung oleh ibu bapa saya,” katanya.

Menurut Siti Nur Syakirah, kini syarikat berkenaan berkolaborasi dengan sebuah syarikat insu­rans terkemuka bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat serta mencari pesakit yang disasarkan ini, selain satu lagi kerjasama dengan sebuah yayasan.

Beliau berkata, sejak tahun 2022, syarikat memfokuskan dengan memberikan kaki palsu secara percuma menerusi kerjasama berkenaan dengan sehingga kini kira-kira 700 pesakit telah dibantu melibatkan per­belanjaan melebihi RM2 juta.

Sementara itu, Siti Nur Syakirah berkata, pihak syarikat turut berkongsi kisah pesakit menerusi TikTok Kedidi Kaki sekali gus sebagai teladan, selain sumber kekuatan kepada mereka yang berdepan masalah sama untuk meneruskan hidup.

“Apabila kita berikan kaki palsu kepada mereka dan nampak mereka senyum, ia kekuatan kepada Kedidi. Mereka dapat berdiri, berjalan selangkah demi selangkah dan lihat mereka tersenyum,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN