DUNGUN – Seorang wanita ditemukan lemas, manakala adik lelaki yang mahu menyelamatkanya pula dilaporkan hilang di Pantai Sura Tengah, di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 10.27 pagi itu berlaku ketika Nor Baizura Shafie, 39, dan adiknya, Mohd. Fazir, 37, bersama 13 ahli keluarga lain sedang berkelah di pantai peranginan tersebut.
Mereka sekeluarga terdiri daripada tujuh dewasa dan lapan kanak-kanak berasal dari Kampung Paya Balai Besar di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, Nor Baizura yang sedang mandi di pantai berkenaan dikatakan dibawa ombak kuat sebelum lemas.
“Adik mangsa (Mohd. Fazir) segera membantu kakaknya, namun dia juga gagal melawan arus kuat sebelum kedua-dua mereka hilang dihanyutkan ombak besar,” katanya hari ini.
Maizura berkata, pasukan operasi mencari dan penyelamat menjumpai Nor Baizura pada pukul 10.54 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE














