PETALING JAYA – Musang king sebelum ini digelar durian kayangan, namun kini ‘jatuh takhta’ apabila harga pasaran menjunam sehingga RM10 sekilogram gara-gara lambakan hasil kebun di seluruh negara.
Situasi itu memaksa sebahagian pekebun menukar strategi mereka, daripada menjual secara borong, kepada jualan terus kepada pelanggan di hadapan kebun sendiri tanpa melalui orang tengah.
Di Segamat, Johor, pengusaha Che Tat Durian Segamat, Muhamad Noriman Haikal Mohd. Nazri, 25, berkata, apabila penawaran lebih tinggi daripada permintaan, harga sememangnya jatuh.
Katanya, ketika ini buah terlalu banyak kerana kebun-kebun yang ditanam dengan musang king sebelum ini telah mengeluarkan hasil secara serentak.
“Harga musang king gred A yang sebelum ini mampu mencecah antara RM60 hingga RM75 sekilogram kini turun kepada RM45 hingga RM50 sahaja.
“Bagi gred lebih rendah pula, harga musang king ada yang dijual serendah RM10 sekilogram bergantung kepada kualiti dan saiz buah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, katanya, kejatuhan harga itu tidak bermakna kos pengeluaran menurun, sebaliknya pekebun masih menanggung kos penjagaan yang tinggi bagi memastikan kualiti buah terjamin.
Katanya, kos penjagaan sepokok musang king boleh mencecah sekitar RM600 setahun meliputi baja, racun, air, buruh dan penyelenggaraan kebun.
“Untuk dapatkan buah yang cantik, isi tebal dan boleh capai gred A, memang tak boleh jimat. Kalau jaga ala kadar, buah tak cantik dan tak boleh dieksport,” ujarnya.
Menurutnya, faktor penjagaan tidak konsisten menyebabkan sebahagian besar musang king gagal mencapai gred eksport, sekali gus menekan harga pasaran dalam negara.
Katanya, musang king mungkin akan kehilangan status eksklusifnya di pasaran tempatan apabila pengguna mula beralih kepada varieti lain seperti duri hitam atau tupai king.
Di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, seorang pekebun di Selaru, Mun Jing Chew, 38, berkata, sebelum ini hasil durian di kebun seluas 8 hektar itu yang diusahakan bersama dua lagi rakan kongsi sejak 10 tahun lalu dijual kepada pemborong.
Katanya, mereka menanam 868 batang pokok yang kebanyakan musang king, selain duri hitam.

“Sebelum ini dijual kepada pemborong, tetapi kali ini kami jual sendiri di hadapan kebun di tepi jalan Kuala Pilah ke Tampin.
“Kami buat promosi RM10 sekilogram bagi musang king bersaiz kecil supaya durian ini dapat tarikan selain membolehkan ramai lagi penduduk kampung merasai keenakan durian ini,” katanya.
Setiap hari, nilai jualan kira-kira RM15,000, namun kadar itu sekadar mampu menampung kos setahun untuk menguruskan kebun yang dianggarkan antara RM200,000 hingga RM300,000.
Di Jerantut dan Bentong, Pahang, tinjauan mendapati musang king dijual serendah RM11 sekilogram bagi gred C, manakala gred B pula RM18 sekilogram.
Seorang pekebun di Damak, Jerantut, Lim Kim Chooi, 62, berkata, lambakan musang king selain penyakit belang harimau menyebabkan harga buah itu jatuh.
Dia yang mempunyai 0.8 hektar tanaman musang king memberitahu, penjagaan pokok durian memerlukan kos yang tinggi termasuk dari segi pembajaan, kawalan serangga dan serangan penyakit.
“Dengan semua kos termasuk pekerja kebun, harga buah tidak boleh bawah RM20 sekilogram, kalau tidak, kami akan mengalami kerugian,” katanya.
Seorang lagi pekebun, Frankie Loh Fook Keong, 44, berkata, keluarganya pernah menanam 360 pokok musang king pada 2000 di Jerantut, tetapi kini hanya 12 pokok yang masih hidup.
Katanya, pelbagai faktor seperti cuaca, bencana alam, serangan penyakit dan sebagainya memberi ancaman besar kepada durian.
Khaidir Ahmad, 63, pula berkata, kos bagi memulakan tanaman musang king adalah RM50,000 hingga RM70,000 bagi keluasan 0.8 hektar selain kos pengurusan ladang agak tinggi berdasarkan keadaan semasa dengan kos baja sebanyak RM500 sebulan.














