Gadis Pesona Ahad minggu ini merupakan bakal peguam yang sangat meminati bidang lakonan selain aktif dalam sukan boling.
Penuntut bidang perundangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Tengku Syasya Qistina, 22, berpendirian setiap manusia berhak mendapat pembelaan selagi belum dibuktikan.
Mesra dipanggil Tina, gadis ini berkongsi kisah kolam ikan keli bersama kembar kepada Kosmo! Ahad.
KOSMO! AHAD: Kongsikan tentang diri anda?
Tina: Anak keempat daripada enam beradik dan saya ada kembar. Dia kini menuntut dalam jurusan, Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM Rembau. Saya pula tahun akhir pengajian Ijazah Sarjana Undang-Undang di UiTM Shah Alam. Orang kata saya peramah, namun pada hakikatnya saya lebih selesa berperanan sebagai pemerhati bagi menilai dan membuat refleksi terhadap sesuatu situasi.
Paling ‘gila’ Tina dan kembar pernah lakukan?
Masa kecil dulu, kami pernah bergaduh sebab berebut bola. Kembar tolak saya masuk kolam ikan keli. Tetapi lepas itu, saya pula tolak dia (kembar). Sedihnya malam itu saya masuk hospital sebab jangkitan kuman. Sampai sekarang cerita ini memang jadi cerita ‘indah’ keluarga kami.
Mengapa pilih jurusan Undang-Undang?
Saya percaya setiap insan berhak diperlakukan secara adil. Masyarakat biasanya cepat menyalahkan tertuduh, tetapi bila saya belajar undang-undang, saya benar-benar mengerti prinsip Innocent until Proven Guilty.
Bagi saya, selagi tiada bukti kukuh, selagi itu tidak boleh disabitkan. Itulah yang membuatkan saya tertarik dengan bidang ini.

Cabaran belajar?
Pada awalnya, saya akui memang sukar untuk menyesuaikan diri. Bidang perundangan memerlukan tahap pemahaman secara menyeluruh untuk memahami sesuatu situasi dengan lebih baik. Namun, dengan sokongan keluarga serta kembar, saya berjaya berada di tahun akhir. Sejujurnya, banyak kali putus asa dalam pengajian terutama pada tahun profesional ini.
Kecantikan dan kesihatan mental?
Untuk makeup nampak cantik dan kulit berseri, paling penting kesihatan dalaman diri termasuk cara pengambilan makanan. Selain itu, cukup rehat dan jaga kesihatan mental. Saya akan cari ibu dan kembar untuk dapatkan kata-kata semangat selain mengabaikan persekitaran negatif.
Minat berlakon?
Di universiti, saya aktif dalam kelab lakonan. Melalui lakonan, saya belajar memahami selain menyampaikan emosi dengan lebih berkesan. Secara tidak langsung, bidang lakonan sangat membantu dalam bidang perundangan. Jika diberi peluang untuk berlakon, saya ingin mencuba genre filem aksi selain genre romantik.
Tina lima tahun lagi?
Saya ingin tamatkan ijazah dan selesaikan latihan dalam kamar (chambering). Jika diberi peluang untuk memilih bidang perundangan atau lakonan, saya ingin cuba kedua-duanya sekali kerana percaya tiada sebab untuk mengehadkan diri dan memilih satu bidang asalkan mampu untuk melakukannya.
Ciri-ciri lelaki idaman?
Bagi saya, seseorang yang matang dan mampu berkomunikasi dengan baik selain mengekalkan rasa hormat antara satu sama lain. Saya juga berharap seseorang yang mampu membimbing di dunia dan di akhirat.






