fbpx
CAMARADERIE bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya menjadi refleksi mendalam tentang persahabatan, kekeluargaan, warisan dan pengalaman berkarya bersama.

HANDS Percussion persembah Camaraderie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SENI perkusi merupakan manifestasi warisan budaya yang merentas generasi, mencerminkan identiti masyarakat melalui bunyi, rentak dan simbolisme tradisi yang diwariskan sejak sekian lama.

Dalam memperkasa seni perkusi, HANDS Percussion membawakan persembahan terbaharu berjudul Camaraderie di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. 

Menurut Pengasas dan Pengarah Artistik HANDS Percussion, Jimmy Ch’ng, penganjuran persembahan Camaraderie merupakan bukti  kekuatan seni perkusi sebagai medium penceritaan tentang hubungan sesama manusia. 

“Camaraderie bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya menjadi refleksi mendalam tentang persahabatan, kekeluargaan, warisan dan pengalaman berkarya bersama yang membentuk identiti HANDS Percussion selama hampir tiga dekad.

“Intipati utama Camaraderie berlegar pada hubungan yang mengikat perjalanan seni kami termasuk hubungan antara guru dan murid, rakan seperjuangan dalam dunia seni serta ikatan keluarga yang lahir melalui muzik,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, nilai-nilai ini diterjemahkan bukan sahaja melalui ritma dan bunyi, malah melalui pergerakan tubuh, interaksi di pentas dan kehadiran emosi yang dirasai penonton. Setiap dentuman dan susunan muzik seolah-olah menjadi bahasa tersendiri untuk menceritakan kisah kebersamaan dan saling percaya.

Kata Jimmy lagi, program persembahan ini menampilkan gabungan karya klasik HANDS Percussion yang diberi nafas baharu, di samping komposisi terkini yang lebih segar dan matang. 

PERSEMBAHAN seni perkusi ini menampilkan gabungan karya klasik HANDS Percussion yang diberi nafas baharu.

“Antara karya yang dipersembahkan semula termasuk Rhythm Ride, Rhythm Within, Flowers Thrusting dan Taiko’s Duel.

“Dengan penyertaan Ensemble Irama Tanah Air (ITA), karya-karya ini diperkaya melalui gabungan instrumentasi kontemporari, elemen elektronik serta lapisan bunyi rentas budaya yang memperluas dimensi emosi dan visual persembahan,” ujarnya. 

Kongsinya lagi, walaupun beberapa karya mungkin sudah dikenali peminat setia, susunan baharu ini memperlihatkan evolusi pemikiran dan kematangan artistik HANDS Percussion.

Dua karya oleh Teuku Umar Ilany iaitu Kencang Kenanga dan Camaraderie turut menjadi tunjang persembahan. Gabungan gamelan, barisan pemain HANDS Percussion termasuk bakat-bakat muda serta kumpulan DeafBeat menjadikan persembahan tersebut lebih inklusif dan berlapis makna. 

Persembahan ini menekankan bahawa ritma bukan sahaja boleh didengar, malah boleh dirasai merentasi batas fizikal dan deria, sekali gus mengukuhkan tema hubungan sesama manusia yang menjadi teras Camaraderie. 

Aspek rentas generasi menjadi antara kekuatan paling menonjol dalam produksi ini. Penyertaan bakat-bakat muda bersama pemuzik berpengalaman memperlihatkan kesinambungan warisan seni perkusi dan gamelan. 

Jimmy juga tampil bergandingan dengan anaknya, Emi, dalam persembahan profesional pertamanya menerusi karya My Flower.

Walaupun ringkas, persembahan ini sarat emosi dan menjadi simbol hubungan bapa dan anak yang diterjemahkan melalui muzik. 

PERSEMBAHAN ini turut melibatkan bakat-bakat muda.

Sementara itu, persembahan Taiko’s Duel menyaksikan penampilan bertenaga Siew Yanhou, manakala Kamarul Baiquni Kamarul Baisah membawa sentuhan segar persembahan Kencang Kenanga dan Camaraderie.

Salah satu karya yang paling mencuri tumpuan ialah Chao Ge Gu Ying yang mengangkat warisan Teochew dalam bentuk kontemporari. 

Digubah oleh komposer dan etnomusikolog Bali, I Wayan Sudirana, karya ini menggabungkan visual, koreografi dramatik dan naratif tradisi yang ditafsir semula secara moden.

Di bawah sentuhan koreografi Bernard Goh dan Zamzuriah Zahari, karya ini bukan sahaja menyerlah sebagai persembahan yang kuat, malah menjadi pembuka kepada perjalanan seni HANDS Percussion.

Kata Jimmy lagi, selepas kejayaan Camaraderie, HANDS Percussion bakal meneruskan momentum dengan penganjuran Kaleidoscope 8: HANDS International Drumming Festival pada Oktober 2026 yang menghimpunkan pemain perkusi dari pelbagai negara. 

“Tahun 2027 pula bakal menyaksikan sambutan ulang tahun ke-30 HANDS Percussion dengan siri persembahan dan kolaborasi baharu.,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN