PERBUATAN songsang kumpulan gay, biseksual dan transgender (LGBT) dilihat mencetuskan kebimbangan masyarakat, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Perbuatan golongan demikian yang kini berkongsi secara terang-terangan dan terbuka khususnya di media sosial, menimbulkan keresahan terhadap nilai moral dalam membentuk kesejahteraan sosial negara.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, isu amalan songsang ini turut melibatkan batas agama, adat ketimuran serta keharmonian sosial di negara ini.
Wartawan Kosmo! Ahad, Siti A’isyah Sukaimi menemu bual Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Irdha Mokhtar bagi memberi pencerahan dari sudut agama dan masyarakat.
KOSMO! AHAD: Bagaimana pandangan Islam terhadap LGBT khususnya dalam konteks masyarakat Malaysia?
DR. AHMAD IRDHA: Dalam Islam disebut syaz iaitu asing, perkara orang tidak buat tetapi mereka lakukan. Allah SWT perincikan kisah Nabi Lut yang dihantar kepada kaum Lut untuk berdakwah supaya mereka keluar daripada keinginan (songsang) lelaki sesama lelaki.
Allah SWT menghantar bala yang berat sehingga menghapuskan dan membinasakan kaum tersebut.
Dalam Islam tidak disebut apakah hukum kepada perbuatan itu. Tidak seperti zina yang ada hukum jelas tentang jenayah dan hudud.
Maka rotan kepada orang yang berzina ini jika mereka belum berkahwin. Bagi yang sudah berkahwin, hukuman rejam. Dalam kes liwat ini, apakah hukum rotan atau perlu dibunuh?
Kita perlu tegaskan di Malaysia ini adalah perlu melihat kepada enakmen negara, undang-undang Mahkamah Syariah yang menekankan hukuman kepada mereka.
Sangat penting untuk diperkemaskan dari semasa ke semasa dan dalam Islam, sebenarnya undang-undang adalah untuk memperbetulkan masyarakat, bukan untuk menyeksa. Selain itu, dikenakan hukuman untuk memperbaiki masyarakat daripada kegiatan sosial tidak sepatutnya.
Adakah aktiviti songsang seperti gay menjadi normal sekarang kerana promosinya meluas di media sosial?
Kalau kita lihat mana-mana video di media sosial termasuk filem akan ada unsur ke arah itu. Dengan logo, lambang bendera pelangi, kita bimbang kepada nasib anak-anak kita.
Cerita kanak-kanak terutama animasi Barat dimasukkan dengan unsur berkenaan, bukan hanya songsang, bahkan aktiviti seks bebas. Animasi kanak-kanak dengan bahan dewasa, contohnya bercium lelaki sesama lelaki.
Ini penyebab dan merupakan satu penyakit berat perlu diperbaiki mengikut syarak. Banyak unsur seks bebas dan songsang ini mereka jadikan kebebasan hak sendiri.
Mereka buat ini mengikut keinginan. Bahkan sekiranya berjumpa dengan orang sebegini, mereka lebih berbangga apa yang dilakukan.
Malah di media sosial juga, ada kumpulan tertentu untuk mereka. Ada juga pemikiran liberal dalam masyarakat kita bantu kumpulan ini.
Mereka diberi hak undang-undang. Jika ditangkap di Malaysia, mereka akan cari jalan untuk melepaskan diri daripada undang-undang.
Mereka ambil undang-undang dunia mengatakan Malaysia ini sangat ‘ganas’ terhadap mereka. Perkara ini sangat memberi impak dalam mengawal kumpulan songsang.
Penahanan seramai 201 individu di Chow Kit, Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan kebimbangan awam. Dengan kes sebegini, adakah menunjukkan berlaku proses normalisasi aktiviti songsang dalam masyarakat?
Perkara ini sudah lama ada. Kalau kita lihat kes tidak banyak sebelum ini. Kini boleh jumpa kes sebegini di sekolah, tahfiz. Bukan nak sembunyi, tetapi memang berlaku. Tetapi yang ini (tangkapan) kumpulan besar pula, ada juga berlaku di tempat lain dan ini buat kita risau.
Misalnya jika dalam kalangan pelajar, ada pelajar lelaki yang nampak ke arah perempuan, ini ditegas oleh syarak.
Ini normalisasi, perkara berlaku dalam masyarakat. Kalau nampak pelajar ke arah itu, kita tegur. Selain itu, ada animasi (di Malaysia) yang memaparkan watak lelaki lembut.
Itu juga menormalkan ke arah itu, patut lelaki tunjukkan dia lelaki. Ibu bapa bimbang dengan watak berkenaan ditunjukkan kepada kanak-kanak. Termasuk kartun dari Barat, ada unsur LGBT. Perkara ini sudah lama ‘bersemadi’ dalam masyarakat.
Mengapa fenomena amalan songsang kini lebih terbuka dan mereka berani mempamerkannya kepada umum?
Ini kerana mereka sudah ada jaminan undang-undang dunia dan telah melarat ke Malaysia.
Ditambah ada pemikiran Barat menyokong hak mereka untuk dipertahankan daripada sudut undang-undang.
Kononnya untuk memperjuangkan hak sendiri, padahal itu menyalahi undang-undang negara kerana kita ada rukun negara, kesopanan kesusilaan, taat dan percaya kepada Tuhan.
Selain itu, globalisasi yang berlaku kini menyebabkan orang ramai lebih mudah terpengaruh dengan aktiviti songsang melalui media sosial. Tidak seperti dulu, internet pun kurang.
Sekitar 1980-an dulu, kes AIDS banyak terdiri daripada penghisap dadah, tapi sekarang aktiviti songsang mengatasinya.
Ini berlaku disebabkan promosi dan normalisasi aktiviti tersebut, ditambah tidak ada undang-undang yang ketat.
Ia menyalahi kesopanan sebagai seorang manusia kerana keluar daripada fitrah. Kita kena faham perkara ini tidak boleh diterima masyarakat dan Tuhan.

Adakah pendedahan yang berlebihan di media sosial menyebabkan golongan ini terkeliru antara kebebasan dan batas agama?
Pendedahan berlebihan di media sosial misalnya, boleh sebabkan kekeliruan. Masyarakat biasa melihat media sosial dan terpengaruh dengan trend.
Misalnya dengan adanya filem berunsurkan LGBT secara jelas dan terang-terangan. Bagaimanapun, usaha kerajaan yang bertindak menyaring filem-filem sedemikian sangat bagus, kita sokong dan setuju.
Bukan hanya media sosial atau filem, ada juga mereka yang mempertahankan pihak-pihak yang berkenaan dan ini juga mengundang kekeliruan masyarakat.
Selain itu, ada juga mempergunakan al-Quran untuk cuba menipu dan mengelirukan masyarakat terutama di media sosial. Ini menyebabkan kumpulan tersebut menjadi berani kerana ada orang membantu mereka.
Faktor seseorang itu terlibat dengan amalan songsang. Adakah perkara ini naluri sejak lahir?
Perkara ini sebabkan didikan ibu bapa. Contoh mahu anak lelaki, tetapi dapat anak perempuan. Kemudian dia beri anak perempuan pakaian anak lelaki. Kedua, disebabkan media sosial dan sebagainya.
Selain itu, kartun yang mempunyai unsur-unsur LGBT boleh menyebabkan mereka terikut. Misalnya tayangan di YouTube Kids, tetapi ada unsur berkenaan. Oleh itu, kita kena ada penapisan. Di luar pula ada pengaruh rakan sebaya misalnya di sekolah.
Ada juga pengaruh dibawakan oleh orang dewasa yang mempunyai perasaan songsang dan mereka mempergunakan kanak-kanak. Akhirnya mereka ini terlibat dalam aktiviti songsang tanpa disedari oleh ibu bapa.
Apa pendekatan terbaik oleh institusi agama bagi menarik kembali golongan ini kembali bertaubat?
Agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia banyak membantu, cuma perkara itu tidak diuar-uarkan.
Ini termasuk pemberian zakat asnaf al-Riqab untuk golongan ini. Al-Riqab ini orang yang dibelenggu iaitu golongan hamba kemudian dibebaskan. Para ulama terutama kontemporari melihat golongan ini dibelenggu dengan isu mereka.
Mereka tahu ia salah, tetapi mereka nak buat juga. Jadi kita beri bantuan zakat bukan suruh mereka melakukan perbuatan tersebut, tetapi bagi mereka berubah.
Ada daripada golongan ini nak berubah, tetapi tidak tahu macam mana sebab masyarakat seolah-olah menolak mereka. Jadi kita kena seimbang.
Kita nak tengok mereka bertaubat, bahkan majlis agama, agensi kerajaan dan NGO juga membantu dalam hal ini menerusi kelas-kelas agama.
Bagus juga masyarakat awam melihat perbuatan songsang ini tidak betul, tetapi sebagai agensi kerajaan dan NGO pula, kita membimbing dan terima sebab nak bertaubat. Bagaimanapun, tindakan undang-undang juga perlu kerana penting untuk tidak menormalisasikannya dalam masyarakat.
Dalam Islam sebenarnya, undang-undang yang diberikan itu adalah untuk mencegah. Tujuan utama ‘menggertak’ supaya jangan dilakukan perbuatan tersebut. Dalam Islam, kena takutkan orang dengan undang-undang.
Dalam menangani isu sebegini, bagaimana masyarakat Islam boleh bersikap tegas dan dalam masa sama, tidak benci supaya mereka kembali ke jalan benar?
Kena ada undang-undang dan perlu kepada agensi kerajaan atau NGO turut membantu. Sebenarnya mereka ingin bertaubat kerana tahu perbuatan itu salah. Bagaimanapun, kita tidak boleh mencemuh sekiranya mereka ingin kembali ke pangkal jalan.
Dalam memperbetulkan masyarakat, kita kena sebut perbuatan itu adalah salah, ia dicemuh, tidak boleh diterima dan perlu beri hukuman.
Agensi agama pun banyak membantu golongan ini, tetapi ia tidak diuar-uarkan. Bagi saya tidak perlu dihebahkan supaya tidak mengelirukan masyarakat.
Kita mahu memperbetulkan golongan ini, pada masa sama kena ajar masyarakat membenci bahawa ia salah.
Apakah nasihat kepada yang mungkin terpengaruh dengan trend atau budaya luar bercanggah dengan agama dan budaya masyarakat Malaysia?
Masyarakat tidak menerima pemikiran dan budaya songsang. Tiada yang membenarkan perbuatan lelaki sama lelaki, wanita sama wanita termasuk seks bebas biarpun Barat membenarkannya.
Perkara ini kita kena faham, ia salah dan perlu dikawal sebab Islam mengajar kita menjauhkan perbuatan di luar hukum syarak.
Apa yang ada di media sosial, televisyen atau internet, ia perlu diambil berat dengan bersama-sama menjaga anak, ahli keluarga, rakan dan orang sekeliling untuk menjauhkan perkara ini.
Ambil tindakan jika boleh, jika teruk sangat laporkan kepada guru sekiranya di sekolah.
Jika di luar, lapor kepada pihak berkuasa dan bukan kita mengambil tindakan sendiri. Itu cara menangani isu ini sebab ia isu jenayah.
Apabila diri sudah terjebak, cuba cari jalan keluar. Kalau pergi kepada masyarakat, dia tidak diterima sebab perkara itu jenayah.
Pergi ke tempat tertentu, misalnya pejabat agama atau pusat pemulihan untuk budaya songsang. Yang bertaubat, banyakkan dengan berzikir dan mendekatkan diri kepada Allah.
Dengan berzikir, ia menjauhkan kita daripada nafsu. Tuhan kata, dengan berzikir hati akan tenang. Jadi kita menjauhkan diri daripada maksiat termasuk perkara songsang lain. -KOSMO! ONLINE















