fbpx
Najib.

1MDB: Empat surat derma Arab Saudi adalah palsu – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini mendapati tiada pengesahan empat surat yang dikemukakan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi.

Dalam prosiding yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata tiada salinan asal surat berkaitan derma tersebut selain pihak pembelaan tidak pernah mengemukakan kepada mahkamah bagi memastikan dana itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.

“Surat itu dipalsukan kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB. Ada jejak kewangan pengesanan dana itu yang menunjukkan ia disalurkan melalui pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore iaitu entiti yang dimiliki oleh ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya.

Tambah Hakim Collin, menjadi suatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu, sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Disember lalu katanya, mahkamah mendapati dana tersebut boleh dianggap sangat mencurigakan.

Hakim Collin menangguhkan prosiding dan menetapkan pukul 3 petang ini bagi menyambung penghakimannya selepas solat Jumaat.

Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN