ACARA International Monsoon Casting Tournament (IMCT) sebenarnya telah mula dianjurkan seawal tahun 2009. Acara ini bermula sebagai wadah mengumpulkan peminat-peminat mengilat gewang untuk ‘bermandi hujan’ di hujung tahun.
Penyertaan awal seramai 22 orang kini telah mencapai jumlah tertinggi iaitu seramai 700 orang peserta pada tahun 2023.
Pada tahun ini, penyertaan dikurangkan bagi memberi tumpuan kepada peserta antarabangsa selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027.
Tahun ini, IMCT mencatat penyertaan seramai 289 orang peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Sebanyak 11 houseboat, 90 bot fiber dan 26 kayak berkumpul untuk mencabar kejuaraan kali ini.
IMCT juga tidak hanya berfokuskan pada pertandingan memancing sahaja, program itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat luar tentang potensi Tasik Kenyir sebagai destinasi utama memancing di rantau ini.
Seperti yang kita sedia maklum, Tasik Kenyir merupakan habitat bagi spesies ikan gamefish seperti toman, sebarau, kelisa dan pelbagai lagi.
Ia juga bertujuan memberi pendedahan tentang konsep Ecotourism dan amalan ‘tangkap dan lepas’.

IMCT juga bertekad untuk memulihara Tasik Kenyir dengan melaksanakan program pelepasan benih ikan tempatan seperti lampam, terbul dan baung.
Perjalanan program
Kemeriahan IMCT 2025 dapat dilihat seawal hari pertama apabila peserta-peserta daripada kategori Boat dan Kayak telah mula mendaftar.
Mereka diberikan pas keselamatan, pita pengukur dan pelbagai cenderahati daripada pihak penaja.
Terdapat juga jualan mini daripada peniaga-peniaga tempatan yang datang memberi sokongan kepada IMCT.
Setelah selesai pendaftaran, peserta mula masuk ke houseboat masing-masing untuk berehat dan bersedia berentap pada keesokan harinya.
Pada waktu malam pula, taklimat keselamatan telah diberikan kepada peserta dan tekong bagi mengelak sebarang pelanggaran peraturan dan kejadian tidak diingini.
Di hari kedua pula, semua peserta telah berkumpul seawal pukul 9 pagi di Pengkalan Gawi bagi acara flag off.
Setelah selesai bacaan doa dan ucapan ringkas oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar merangkap Adun Telemung, Mohd. Zawawi Ismail, para peserta pun dilepaskan untuk menuju ke lubuk masing-masing.
Bagi Kategori Kayak, mereka berkumpul di Pulau Orkid untuk acara pelepasan. Ketika semua peserta sedang bertungkus-lumus mencari tangkapan pertama, program pelepasan benih ikan telah dilaksanakan di Sungai Leban.

Acara pada hari pertama tamat pada pukul 7 petang dan peserta diarahkan untuk pulang ke houseboat masing-masing yang telah disusun berhadapan Pulau Mahathir. Sebarang tangkapan ikan didaftarkan oleh urus setia.
Hujan lebat berterusan dari tengah hari hingga ke malam, namun tidak menjadi penghalang untuk aktiviti IMCT berjalan dengan lancar.
Sharing session daripada wakil setiap pasukan telah diadakan selepas isyak, pelbagai pengisian dan pengalaman berguna telah dikongsi bersama kepada seluruh warga IMCT.
Dalam masa sama, houseboat lain juga dimeriahkan dengan jualan barangan pancing dan rencam daripada peniaga tempatan.
Hari ketiga IMCT 25
Hari ketiga bermula seawal pukul 6 pagi. Hujan pula kelihatan semakin lebat dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Cuaca musim monsun ini merupakan kondisi terbaik untuk peserta mencari ikan sebarau yang sinonim dengan tema IMCT 2025.
Seperti biasa, peserta pulang ke Pulau Mahathir pada pukul 7 petang dalam keadaan sejuk dan basah kuyup. Pada waktu malam pula, acara cabutan bertuah telah dijalankan dan floating market juga diteruskan dengan jualan-jualan seperti hari sebelumnya.
Pada hari terakhir, Daiwa yang merupakan salah satu penaja utama IMCT 2025 telah menganjurkan Daiwa Casting Battle untuk peserta dan tekong yang menggunakan joran dan kekili jenama itu. Acara sampingan ini tamat pada pukul 12 tengah hari dengan peserta berjaya menaikkan toman, sebarau dan haruan.
Pada pukul 1 petang, majlis penyampaian hadiah, acara Grand Lucky Draw dan perasmian penutup IMCT berlangsung.
Majlis ini juga telah diserikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Rozi Mamat.
Dalam ucapannya, dia mengukuhkan lagi komitmen KETENGAH dalam memajukan Tasik Kenyir dengan menyatakan sokongan terhadap penganjuran IMCT.
Keputusan IMCT 2025
Pasukan Rentaka yang diwakili oleh pemancing tempatan telah berjaya merangkul kedudukan sebagai King of IMCT 2025.
King of Toman untuk peserta tempatan pula telah dimenangi oleh Amirul dengan toman sepanjang 78 sentimeter (sm). Bagi King of Sebarau untuk kategori tempatan telah dimenangi oleh Lady Angler daripada pasukan Gigamate X Fish n Gincu.
Lady Angler yang lebih mesra disapa dengan nama, Kak Zie telah berjaya mendaratkan Sebarau sepanjang 57sm, sekali gus memecahkan dominasi pemancing lelaki selama 17 tahun.
Bagi kategori King of Rare untuk peserta tempatan, ia telah dimenangi oleh Arif Hakim dengan seekor ikan baung sepanjang 48sm.
Kategori antarabangsa pula, peserta dari Indonesia telah berjaya merangkul juara kategori King of Toman (International) dengan toman sepanjang 77.5sm dan King of Rare (International) dengan baung sepanjang 36sm.
Manakala King of Sebarau (International) pula dirangkul oleh Moe Tai Min dari Korea Selatan.
Bagi anugerah individu, Best of Lady Angler telah dimenangi oleh Norshahida dengan jumlah tangkapan tiga ekor ikan.
Best of International Angler pula dimenangi oleh Chris Mclivary daripada pasukan Amerika Syarikat dan Best of Local Angler dimenangi oleh Edwin Hay Soon Hoe daripada pasukan Gigamate.















