KOTA BHARU – Keperitan dialami seorang pesara guru lelaki selama lapan tahun disebabkan masalah sendi lutut berakhir apabila dia kini boleh berjalan selepas dua hari menjalani pembedahan menggunakan teknologi robotik baru-baru ini.
Mohd. Jilani Jaffar, 63, merupakan pesakit pertama yang menjalani pembedahan pada kedua-dua lutut secara robotik di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Katanya, dia berasa sebak apabila sakit lutut yang ditanggung sejak lapan tahun lalu sehingga menyebabkannya sukar berjalan sudah berakhir dengan kos pembedahan sebanyak RM20,000 yang ditanggung Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Sudah tentu saya berasa takut dan bimbang sekiranya pembedahan ini tidak berjaya. Saya menjalani pembedahan selama tujuh jam termasuk tiga jam pembedahan dengan teknologi robotik pada sendi lutut,” katanya ketika ditemui Kosmo! semasa menjalani rawatan susulan di Shalis Care Centre di Telipot di sini semalam.
Mohd. Jilani hanya dimaklumkan menjadi pesakit sendi lutut pertama menggunakan teknologi tersebut sehari sebelum pembedahan dijalankan dan bersetuju kerana sudah tidak sanggup menanggung kesakitan selama lapan tahun.
Ketika pembedahan dijalankan, beliau ditemani isterinya, Rohana Abdul Rahman, 58, dan anak-anak.
“Jika sejak awal lagi saya tahu akan kesannya (cepat sembuh), sudah lama saya bersetuju untuk menjalani pembedahan kedua-dua lutut ini.
“Saya bersyukur dan berharap kedua-dua lutut tidak lagi sakit dan boleh berjalan seperti biasa. Setakat ini, saya seorang sahaja yang sudah menjalani pembedahan kedua-dua lutut secara serentak dengan teknologi robotik. Pesakit seterusnya dijangka dibedah pada Januari depan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pesara guru yang menghidap penyakit sendi lutut sejak lapan tahun lalu menjadi individu pertama yang menjalani pembedahan menggunakan teknologi robotik di HRPZ II.
Mohd. Jilani bersetuju menjalani pembedahan kedua-dua lutut secara serentak dengan teknologi itu selepas mendapatkan rawatan selama dua bulan di hospital berkenaan.
Teknologi itu membolehkan pakar bedah merancang prosedur pembedahan dengan lebih terperinci melalui imej tiga dimensi masa nyata, pengesan imbangan ligamen, penentuan sudut dan ketebalan pemotongan tulang dengan ketepatan tinggi.
Teknologi pembedahan robotik memberi kelebihan kepada pesakit termasuk ketepatan pembedahan yang lebih tinggi, pengurangan kesakitan selepas pembedahan dan tempoh pemulihan yang lebih singkat.
Kos pembedahan penggantian lutut secara robotik di hospital kerajaan hanya membabitkan bayaran komponen implan berharga RM7,500 yang perlu ditanggung pesakit.
Pembedahan itu julung kali dijalankan di Kelantan dan Pantai Timur selepas Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.















