KEMAMAN – Walaupun banjir sudah mulai pulih berikutan cuaca kembali baik, rata-rata penduduk terjejas masih mahu kekal di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana bimbang bencana bah kembali berulang.
Rata-rata penduduk yang tinggal di pinggir sungai yang ditemui mengakui berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan jangkaan fenomena air pasang besar masih berlaku sepanjang minggu depan.
Salah seorang penduduk terjejas, Suhana Saleh, 47, berkata, dia yang tinggal di kawasan rendah berhampiran sungai belum dapat menarik nafas lega meskipun banjir di sekitar rumahnya di Kampung Tanjung Maktat di sini telah surut.
“Alhamdulillah cuaca panas terik sejak dua hari lalu membolehkan saya sekeluarga pulang sebentar untuk membersihkan rumah.
“Bagaimanapun, kami masih bimbang kalau air sungai akan melimpah lagi ekoran jangkaan air laut pasang besar akan berlaku lagi,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Suhana berkata, kebiasaannya rumahnya akan ditenggelami limpahan Sungai Kemaman disebabkan fenomena berkenaan.
Ibu kepada enam orang anak ini berkata, dia dan suaminya, Roslan Abdullah, 51, belum berani untuk menurunkan barangan keperluan yang disimpan di atas rak tinggi.














