fbpx
PESERTA bergambar berlatarbelakangkan panorama di kawasan pergunungan Mongolia.

Konvoi rentas benua sejauh 40,000km

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENEMBUSI sempadan negara, melintasi benua dan menghadapi cabaran iklim serta geografi bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.

Setiap perjalanan memerlukan persediaan rapi, pengurusan logistik yang teliti dan kesediaan mental yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan konvoi besar dan peserta dari pelbagai latar belakang.

Konvoi ini melibatkan 17 motosikal dan dua kereta, dengan jumlah peserta keseluruhan seramai 23 orang berumur antara 39 hingga 72 tahun. 

Ekspedisi ini dikenali sebagai Euro Asia Friendship Ride, menempuh jarak sejauh 40,000 kilometer dari Malaysia ke sempadan Norway dalam tempoh 105 hari.

Perjalanan dianjurkan oleh ATM Kembara Asia (Adventure Touring Malaysia) dan diikuti oleh peserta dari pelbagai negeri, termasuk Johor, Selangor, Perak, Kuching dan Terengganu.

Peserta diberi dua pilihan lokasi untuk berkumpul sama ada di Tanjung Piai, Johor atau bertemu kumpulan lebih besar di sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah sebelum memulakan perjalanan. 

Laluan bermula dari Malaysia, melalui Thailand, Laos, China, Mongolia, Rusia (Arctic Circle di Murmansk, berhampiran sempadan Norway), Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, kembali ke China, kemudian melalui Laos dan Thailand sebelum kembali semula ke Malaysia.

KONVOI ini melibatkan 17 motosikal dan dua kereta, dengan jumlah peserta keseluruhan seramai 23 orang.

Menurut ketua konvoi, Mustaazis Said, perancangan perjalanan mengambil masa setahun sebelum dilaksanakan bagi memastikan aspek laluan, sempadan, makanan, keselamatan dan visa diurus dengan teliti. 

“Laluan konvoi dipilih tidak memerlukan karnet iaitu dokumen antarabangsa yang membenarkan motosikal atau kereta dibawa masuk sementara ke negara asing tanpa membayar duti kastam.

“Oleh itu, kita elak negara yang memerlukannya seperti India, Pakistan, dan Iran. Ini sekali gus, menjimatkan kos keseluruhan ekspedisi ini,” jelasnya.

Laluan konvoi melalui Trans-Siberia di Rusia, bermula dari Irkut, kemudian St. Petersburg dan seterusnya Murmansk di Arctic Circle, Rusia. 

Perjalanan juga melalui Tropic of Cancer di China, Tibet termasuk Iberes Base Camp serta Route 318 di barat China.

PERBEZAAN iklim dan ketinggian memberi cabaran kepada peserta yang perlu menempuh jarak perjalanan sejauh 40,000 kilometer.

Sepanjang perjalanan, peserta berhenti di beberapa tempat menarik selama dua hingga tiga hari, termasuk Beijing (dua hari) di China, Ulaanbaatar (dua hari) di Mongolia, Moscow (tiga hari) dan Kazan (tiga hari) di Rusia serta Tibet (dua hari) di China.

Perbezaan iklim menjadi cabaran utama kepada para peserta kerana memerlukan mereka memakai pakaian berbeza mengikut situasi. Mereka menghadapi suhu setinggi 43 darjah Celsius di China dan Mongolia, manakala di negara-negara Asia Tengah, suhu lebih sederhana tetapi tetap panas. 

Di kawasan tanah tinggi mencapai ketinggian antara 3,000 hingga 5,300 meter di Rusia, Tibet dan China, memerlukan peserta memakai jaket musim sejuk. 

Ini kerana, peserta berisiko mengalami altitude mountain sickness (penyakit gunung tinggi) dan kesukaran bernafas akibat ketinggian. 

Mustaazis Said menambah, pengalaman di Rusia membuka mata mereka terhadap sifat sebenar warga Rusia yang selama dikaitkan dengan kegiatan mafia. 

 “Selain pakaian mengikut musim, kami juga perlu membawa tunai dalam bentuk Ruble Rusia (RUB) dan Dolar Amerika (USD) kerana kad bank tidak boleh digunakan akibat sekatan di Rusia. 

“Kami juga terkejut apabila mengetahui bahawa di Rusia banyak makanan halal tersedia dan orang-orangnya ramah serta tidak seperti digambarkan dalam filem Hollywood,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN